Pempengaruh dan usahawan, Anees Ayunie menjelaskan luahannya mengenai rasa ‘perit’ membantu golongan kurang berkemampuan bukan disebabkan keberatan mengeluarkan wang, sebaliknya kerana bimbang bantuan berterusan membuatkan sesetengah penerima semakin bergantung.

Sebelum ini, Ayunie mencuri perhatian menerusi Threads apabila berkongsi rasa kecewa melihat ada individu yang kembali meminta bantuan kewangan setiap bulan walaupun sudah beberapa kali dibantu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Maaf Kasar, Aku Dah Perit Bantu Orang Miskin!’ – Anees Ayunie

Tak Mahu Bantuan Jadi Tempat Bergantung

Menurut Ayunie, dia sememangnya memperuntukkan sebahagian pendapatannya untuk membantu mereka yang memerlukan, namun mula memikirkan semula cara bantuan itu diberikan.

“Perit bantu orang miskin ini bukan sebab saya kena keluarkan duit. Kalau boleh, setiap hari daripada pendapatan saya memang saya akan keluarkan untuk bantu orang.

“Tapi yang memeritkan bila kita bantu, rupanya keadaan dia semakin teruk. Kita tengok sebelum ini masalah tak cukup makan, kemudian kena halau rumah pula. Bila tengok semula, rupa-rupanya dah tiga bulan kita tanggung,” katanya.

Bagi Ayunie, masalah mula timbul apabila seseorang melihat dirinya sebagai ‘emergency point’ setiap kali berdepan kesulitan.

Dia bimbang bantuan tunai yang diberikan berulang kali akhirnya tidak membantu penerima keluar daripada kesusahan, sebaliknya membuatkan mereka terus bergantung.

“Bila kau rasa aku boleh tolong dan setiap kali ada masalah boleh dapat duit, kau mungkin tak akan usaha untuk keluar daripada kemiskinan itu.

“Sebab itu bagi saya kita dah tak boleh sekadar bagi duit. Kita kena ubah dia supaya jadi seseorang yang pandai cari duit,” jelasnya.

Ayunie berkata dia sendiri menawarkan perkongsian ilmu kepada mereka yang mahu belajar menjana pendapatan dengan bayaran RM10 sebagai tanda komitmen.

Selepas luahannya menjadi perhatian, Ayunie mendakwa menerima sekitar 500 mesej dalam tempoh seminggu daripada individu yang mahu belajar serta cuba mengubah kehidupan mereka.

“Alhamdulillah, bila saya kongsi benda itu, ramai mula mesej dan cakap mereka nak belajar.

“Saya tak paksa jual produk saya pun. Saya cuma nak kongsi ilmu supaya mereka nampak ada banyak jalan dan peluang. Tinggal nak atau tak nak sahaja,” katanya.

Sedekah Tetap Diteruskan

Dalam masa sama, Ayunie menegaskan dia tidak pernah berniat untuk berhenti bersedekah.

Menurutnya, ketika melakukan sedekah Subuh, dia lazimnya memilih sekitar 10 hingga 20 individu untuk diberikan bantuan, dengan jumlah sekitar RM100 seorang dan ada kalanya mencecah RM200 hingga RM300.

Namun pengalaman melihat individu sama kembali meminta bantuan berkali-kali membuatkannya mahu lebih berhati-hati.

Ayunie turut mengakui dia tidak terlalu memikirkan kemungkinan ditipu apabila bersedekah kepada orang tidak dikenali.

“Selagi saya baca cerita dia dan rasa dia memang perlukan bantuan, saya akan bantu.

“Tapi kalau dah tiga kali saya tengok perkara sama berulang, sudahlah. Lepas ini saya rasa saya nak lebih bantu orang yang berniaga, tak kisahlah meniaga tepi jalan atau TikTok.

“Sekurang-kurangnya kita nampak dia berusaha dan dia dapat rezeki daripada usaha sendiri,” katanya.

Ayunie ditemui ketika Majlis Flag-Off Penghantaran Kontena Produk Bariistar ke Amerika Syarikat yang berlangsung di MARA Halal Industrial Park, Batu Caves, baru-baru ini.

Bariistar Kini Tembusi Amerika Syarikat

Menurut Ayunie, Bariistar merupakan jenama yang dilahirkan menerusi kilang mereka sendiri dan produk sirap premium itu kini telah menembusi beberapa pasaran antarabangsa.

“Bagi saya ini satu kebanggaan sebab produk yang dilahirkan secara lokal, di kilang kita sendiri, kini berjaya dieksport ke luar negara dan kali ini ke Amerika Syarikat.

“Sebelum ini kita sudah berjaya eksport ke sembilan negara termasuk Korea, China, Vietnam, Indonesia dan Singapura,” katanya.

Secara rasmi, penghantaran pertama ke Amerika Syarikat melibatkan 16,800 botol sirap Bariistar bernilai RM840,000, dengan M&C Barista Supply Company dilantik sebagai pengedar eksklusif untuk pasaran tersebut.

Bariistar turut menyasarkan untuk memasuki antara 2,000 hingga 5,000 premis coffee shop, restoran dan perniagaan F&B di Amerika Syarikat termasuk Detroit, New York City, Chicago, Phoenix, San Francisco Bay Area, Philadelphia, Dallas dan Seattle.

Bagi fasa seterusnya, Callabio Manufacturing menyasarkan jualan sekitar 30,000 hingga 50,000 botol sebulan, selain mahu memperluaskan rangkaian Bariistar kepada produk seperti sos, minuman serbuk dan puri. Syarikat turut meletakkan sasaran jualan keseluruhan RM8 juta bagi 2026.

Dua Tahun Bina Pasaran Luar

Menurut Ayunie, proses eksport mula digerakkan sekitar dua tahun lalu dan perjalanan pada peringkat awal bukan sesuatu yang mudah.

Namun selepas membina rekod jualan, permintaan serta kepercayaan daripada pasaran luar, proses pengembangan menjadi lebih lancar.

“Waktu pertama kali nak eksport memang sangat sukar. Tapi bila kita dah dapat trust, dah ada revenue yang kukuh, ada demand dan feedback, ia jadi lebih mudah.

“Bagi saya dalam masa dua tahun, perkembangan itu agak cepat. Kita dapat pergi ke beberapa negara dan dalam masa sama pastikan semuanya dibuat secara legal,” katanya.

Menurut kenyataan rasmi, Bariistar mula dibangunkan pada 2021 sebelum mengembangkan kehadiran ke sembilan pasaran antarabangsa. Peluang menembusi Amerika Syarikat pula bermula selepas pertemuan dengan wakil negara berkenaan ketika Gulfood Dubai 2026, disusuli penghantaran sampel dan perbincangan mengenai produk, harga serta pengedaran.

Kemudahan pengeluaran Callabio Manufacturing turut mempunyai pensijilan dan sistem termasuk Halal JAKIM, HACCP, GMP dan MeSTI, selain berstatus U.S. FDA Registered Facility.

Mahu Bantu Orang Berdiri Dengan Usaha Sendiri

Pada usia 24 tahun, Ayunie melihat pengalaman membina produk, mengusahakan kilang dan mengembangkan pasaran luar sebagai ilmu yang boleh dikongsi kepada orang lain.

Sebab itu, selepas pengalaman membantu individu yang sama berulang kali, fokusnya kini bukan sekadar memberi wang.

Dia mahu lebih banyak tenaga diberikan kepada mereka yang benar-benar mahu belajar, berniaga dan mencari jalan mengubah kehidupan sendiri.

Bagi Ayunie, membantu tidak semestinya bermaksud seseorang perlu sentiasa menghulurkan wang. Kadang-kadang bantuan yang lebih besar ialah memberikan ilmu dan jalan supaya seseorang tidak perlu kembali meminta perkara yang sama pada masa hadapan.