Selebriti popular, Noor Neelofa berkongsi perjalanan untuk mendapatkan cahaya mata ketiga selepas hampir setahun berusaha untuk hamil.

Artikel Berkaitan: Neelofa Tak Sempat Rindu Industri Seni – ‘Sibuk Jaga Anak-Anak & Urus Perniagaan’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tak Perlu Ada Pengumuman’ – Neelofa Ulas Isu Kehamilan Anak Ketiga  

Doa di umrah

Menerusi podcast Habis Cerita, Neelofa, 38, berkata dia mencuba pelbagai ikhtiar termasuk mendapatkan rawatan moden namun mengakui kehamilan kali ketiga tidak semudah dua kehamilan terdahulu.

Untuk kehamilan ketiga ini mengambil sedikit masa. Kalau macam anak pertama dan kedua, tidak dirancang dan perjalannya begitu dipermudahkan.

Kali ketiga ini saya pernah kongsi dalam kelas usrah sebelum ini yang saya dalam proses TTC (trying to conceive). Perjalanan ini merubah pemikiran saya, baru saya faham perasaan mereka yang memang susah untuk hamil.

Selama ini saya tiada pengalaman itu. Apabila saya pergi buat pemeriksaan, soalan pertama yang doktor tanya, anak pertama dan kedua ada lakukan apa-apa treatment atau tidak.

Saya sampai letak satu garis masa, jika Januari tidak hamil saya mahu cuba IVF. Sentiasa buat kiraan hari sampai satu hari saya bercakap kepada diri sendiri yang saya sudah lakukan macam-macam cara. Tapi sudah minta doa ke tak?

Menurut Neelofa, pengalaman tersebut membuatkan dia kembali bermuhasabah dan menyedari bahawa usaha serta ikhtiar sahaja tidak mencukupi tanpa benar-benar memohon kepada Allah.

Saya tidak ketuk pintu Allah betul-betul. Selepas raya Aidilfitri, saya minta izin dengan suami nak pergi umrah. Saya pergi umrah minta khusus beberapa doa untuk hamil. Saya minta beriya-riya dengan Allah.

Selepas saya pulang dari umrah, dua minggu selepas itu, saya disahkan hamil. Allah menjawab doa saya yang hampir setahun usaha untuk hamil sekali lagi.

Apa pengajaran yang saya dapat adalah, memang betul kita semua boleh usaha dan ikhtiar, tapi tanya semula adakah kita minta doa betul-betul dengan Allah.

Sebelum ini, Neelofa enggan mengesahkan dakwaan dirinya sedang hamil anak ketiga ketika ditemui dalam satu temu bual. Sebaliknya, dia meminta orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat dirinya dan memaklumkan akan berkongsi berita tersebut apabila tiba waktu tepat.

Untuk rekod, Neelofa mempunyai dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas, hasil perkahwinannya dengan pendakwah, Haris Ismail.

Sumber: YouTube