
Tidak semua perjalanan hidup hadir seperti yang dirancang. Ada ketika seseorang perlu melalui fasa sukar, menerima keputusan yang tidak dijangka dan belajar berdamai dengan takdir.
Bagi pelakon Beto Kusyairy, setiap pengalaman yang dilalui mempunyai hikmah tersendiri. Daripada memilih untuk menoleh ke belakang dengan rasa kesal, dia lebih selesa menerima perjalanan hidup sebagai satu ketentuan, sambil terus berserah dan berdoa.
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Tiada Yang Lebih Besar Daripada Ini, Beto Kusyairy Kongsi Doa Paling Bermakna Buat Ibu Bapa
Artikel Berkaitan: POV XTRA: ‘Skrip Yang Baik Ada Harga, Bukan Murah’ – Beto Kusyairy Tegaskan Industri Perlukan Penulis Berkualiti
Berdamai Dengan Aturan-Nya
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA hari ini, Beto diminta berkongsi mengenai satu perkara yang mahu diubah sekiranya diberi peluang untuk memutar semula masa.
Bagaimanapun, pelakon berkenaan mengakui tidak ada satu pun perkara yang mahu diubah kerana percaya setiap perjalanan dan pengalaman telah membawanya ke tahap kehidupannya sekarang.
Tak ada. Saya di sini atas perjalanan dan pengalaman saya. Saya bersyukur dengan di mana saya berada sekarang.
Saya tak akan ubah apa-apa. Ini adalah ketentuan yang ditentukan oleh-Nya.
Dalam masa sama, Beto memilih untuk menerima setiap perkara yang berlaku dalam kehidupannya dan meneruskan perjalanan tersebut dengan sebaiknya.
Malah, selain doa sendiri, dia turut percaya bahawa restu serta doa daripada kedua-dua ibu bapa merupakan antara perkara paling penting dalam kehidupannya.
Saya hadap, lalui dan selebihnya doa. Paling penting sekali, doa mak ayah.
Bagi Beto, apa yang pernah berlaku bukan sesuatu yang perlu disesali, sebaliknya menjadi sebahagian daripada proses kehidupan yang membentuk siapa dirinya pada hari ini.







