Penyanyi, Alif Satar tampil bersuara berhubung kontroversi membabitkan jenama penjagaan diri dari Indonesia iaitu Kahf, yang sebelum ini didakwa menyindir beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Artikel Berkaitan: Netizen Malaysia Pakat Boikot Produk Kahf, Ada Yang Dah Beli Sanggup Buang

Artikel Berkaitan: Semarakkan Bulan Kebangsaan! Alif Satar & The Locos Lancar ‘Kibar Cinta Merdeka’

‘Negara kita mesti dihormati’

Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd Satar, 36, berkata dia tegas menolak sebarang tindakan atau kandungan yang boleh menjatuhkan maruah serta nama baik tanah air.

Saya sebagai rakyat Malaysia, percaya yang negara kita dan rakyat mesti dihormati. Prinsip saya, memang tidak pernah bersetuju dengan kandungan yang merendahkan mana-mana negara atau sesiapa pun.

Pelantun lagu Lelaki Seperti Aku itu berkata, dia juga mengambil maklum permohonan maaf yang telah dibuat pihak Kahf susulan kontroversi berkenaan.

Katanya, permohonan maaf sahaja tidak memadai sekiranya kepercayaan yang terjejas tidak disusuli dengan tindakan sewajarnya.

Saya ambil maklum permohonan maaf pihak Kahf. Namun, kepercayaan perlu dipulihkan dengan tindakan yang jelas.

Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, matang dan penuh rasa hormat. Saya percaya, dalam apa juga keadaan, kita boleh berbeza pandangan tanpa perlu merendahkan sesiapa.

Terdahulu, Kahf mencetuskan kontroversi selepas memuat naik satu hantaran menggunakan frasa “beda level” yang membandingkan Indonesia dengan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Susulan menerima kecaman daripada pengguna media sosial, Kahf kemudian memadam hantaran berkenaan sebelum tampil memohon maaf dan mengakui kandungan tersebut tidak mencerminkan pendirian jenama berkenaan.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu tidak menghalang sebahagian netizen Malaysia daripada menyatakan pendirian untuk memboikot produk Kahf sebagai tanda bantahan terhadap hantaran berkenaan.

Untuk info, Alif merupakan selebriti Malaysia dilantik sebagai duta Kahf dan sering mempromosikan produk tersebut di media sosial miliknya.

Sumber: Threads