Seramai 300 graduan Malaysia yang berjaya menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir diraikan menerusi Majlis Konvokesyen Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar kali ke-20 (2026).

Artikel Berkaitan: Iqbal Zulkefli Bakal Sambung Belajar Di Mesir Dalam Bidang Syariah Islam, Risau Tinggalkan Anak Lama

‘Satu pencapaian istimewa’ – Nurul Huda

Lebih membanggakan, anak jati Temerloh, Pahang, Nurul Huda Roslan turut mencuri perhatian apabila menerima Anugerah Tertinggi Imam Akbar Sheikhul Azhar sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangannya dalam bidang akademik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan anak muda Malaysia dalam memperkukuh penguasaan ilmu agama.

Menurutnya, pengiktirafan yang diterima Nurul Huda bukan sahaja mengharumkan nama Pahang, malah Malaysia di persada antarabangsa.

Pengiktirafan ini sebagai satu pencapaian istimewa yang bukan sahaja mengharumkan nama negeri Pahang, malah Malaysia di persada antarabangsa, lebih-lebih lagi Nurul Huda kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ulum Islam.

Majlis yang berlangsung di Al-Manara International Convention Center, Kaherah, Mesir itu dianjurkan bersama Education Malaysia Egypt (EME) dan Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Mesir (MP3M).

Selain meraikan 300 graduan, majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 30 graduan menerima pengiktirafan atas kecemerlangan dalam pelbagai disiplin Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Turut hadir adalah Menteri Wakaf Mesir, Dr. Osama Al-Azhari, Wakil Syeikhul Azhar, Rektor Universiti Al-Azhar, wakil Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah serta delegasi Kerajaan Negeri Pahang.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pesanan Menteri Wakaf Mesir agar graduan menjadi duta wasatiyyah atau kesederhanaan perlu dijadikan pedoman dalam menggalas amanah ilmu.

Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu agama atau bertafaqquh fi ad-din, selain memanfaatkan kepakaran yang dimiliki demi pembangunan ummah.

Graduan institusi berprestij seperti Universiti Al-Azhar mempunyai tanggungjawab besar untuk menyebarluaskan ilmu, memperkukuh kefahaman Islam berteraskan manhaj wasatiyyah serta memastikan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.