Pelakon Elisya Sandha memilih untuk menyerahkan kepada pihak produksi berhubung sebarang keputusan membabitkan drama lakonannya, Madu Atau Racun.

Artikel Berkaitan: ‘Boleh Bercakap Apa Sahaja Mengenai Saya, Tapi Jangan Heret Keluarga’ – Elisya Sandha

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Elisya Sandha Pakai Baju Hyrox Dibeli Kawan, Sudah Dapat ‘Greenlight’ Suami – ‘Nak Rasa Macam Atlet’

Serahkan pada produksi

Ketika ditemui OhBulan!, Elisya atau nama lengkapnya Nur Elisya Sandha Hassan, 27, berkata, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelakon dan tidak menyebelahi mana-mana pihak menerusi watak yang dibawakan.

Dalam pada itu, Elisya turut memberi contoh bahawa pelakon yang membawa watak pembunuh tidak bermakna mereka menyokong perbuatan tersebut.

Apa yang boleh saya katakan, saya hanyalah pelakon yang menjalankan tugas. Saya tidak sentuh atau menyebelahi mana-mana pihak.

Cuma saya nak bagi contoh. Kalau kita bawa watak sebagai pembunuh, adakah itu bermakna kita menyokong pembunuh? Tidak, bukan? Jadi, saya rasa konsepnya sama.

Elisya berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Rakan Jenama Gardenia Numee yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Selain itu, Elisya akui menerima segala teguran yang diberikan susulan kontroversi drama berkenaan kerana percaya setiap perkara yang berlaku pasti mempunyai pengajarannya tersendiri.

Mungkin drama yang saya lakonkan ini kurang bernasib baik.

Bagaimanapun, saya terima perkara ini dengan hati terbuka kerana percaya ada hikmah dan pengajaran di sebaliknya.

Drama 12 episod arahan Eyra Rahman itu sebelum ini mengundang perhatian ramai selepas beberapa babak didakwa memaparkan elemen percintaan sesama jantina sehingga mencetuskan kritikan dalam kalangan penonton.

Susulan kontroversi tersebut, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meminta pihak platform penstriman iQIYI menurunkan sementara tayangan drama berkenaan bagi membolehkan kesemua episod menjalani proses suntingan semula sebelum dinilai oleh panel berkaitan.

Difahamkan, Madu Atau Racun masih dalam proses suntingan semula sejak September lalu sebelum kembali dipertimbangkan untuk tayangan kepada umum.