Perkongsian mengenai kepentingan makanan halal yang disampaikan pendakwah, Haris Ismail atau lebih mesra disapa PU Riz kepada anak sulungnya, Muhammad Bilal mencuri perhatian apabila kanak-kanak itu turut menunjukkan minat terhadap isu pemantauan bekalan ayam halal.

Artikel Berkaitan: PU Riz Mohon Henti Ungkit Isu Rentas Negeri, Akui Masih Rasa Bersalah Terhadap Bilal – ‘Peristiwa Durjana, Perit Ditelan’ 

Artikel Berkaitan: [VIDEO] PU Riz Didatangi Wanita Warga Emas, Tersentak Dengar Kisah Duka – ‘Dia Ada 10 Anak Tapi Seorang Pun Tak Ambil Tahu’

PU Riz ajar Bilal pilih makanan halal

Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, suami kepada selebriti Neelofa itu menerangkan kepada Bilal mengenai tuntutan memilih makanan yang halal dan baik seperti yang dianjurkan dalam Islam.

Malah, perbualan mereka turut menyentuh peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam memastikan aspek penyembelihan dan pengendalian haiwan mematuhi ketetapan ditetapkan.

Bilal kemudian mengambil peluang untuk bertanyakan sama ada Dr Zulkifli turut memantau bekalan ayam halal.

Terima kasih Dr Zul kerana mengambil berat mengenai ayam halal. Adakah Dr Zul memantau?

PU Riz yang mendengar pertanyaan tersebut kemudian menjelaskan bahawa pemantauan dan siasatan telah dilakukan terhadap premis penyembelihan.

Ya, Dr Zul sudah memantau dan tak silap saya dia telah membuat pemantauan terhadap premis penyembelihan.

Dalam video berdurasi lebih enam minit itu, PU Riz turut mengingatkan Bilal supaya sentiasa memastikan makanan yang diambil bukan sahaja halal, malah baik untuk diri.

Apa yang ingin saya katakan anda perlu mengambil makanan yang halal. Dalam surah yang saya kongsikan, Allah meminta setiap insan untuk memilih makanan yang halal dan toyyiban.

Untuk rekod, Dr Zulkifli sebelum ini menjelaskan bahawa premis penyembelihan ayam yang disyaki beroperasi tanpa permit serta kelulusan pihak berkuasa tempatan tidak tersenarai dalam rekod pemantauan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pemeriksaan awal juga mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa kelulusan berkaitan.

Dr Zulkifli turut memaklumkan bahawa JAKIM pernah mengambil tindakan terhadap beberapa kes ketidakpatuhan sebelum ini, termasuk mengenakan kompaun berjumlah RM40,000 kepada tiga syarikat.

Terdahulu, pada 30 Oktober lalu, lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong, Selangor selepas disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak serta keperluan pensijilan halal.

Operasi dikenali sebagai Ops Taring Chiller itu turut membawa kepada penahanan 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.