![[VIDEO] ‘Saya Tak Hakimi Seseorang Cuma Mahu Tingkatkan Kesedaran’ – Cakra Khan](https://asset.ohbulan.com/2026/11/cakraaa.jpg)
Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan tidak mengambil pusing mengenai dakwaan dirinya dipinggirkan gara-gara lantang bersuara tentang isu semasa yang membabitkan negaranya.
Artikel Berkaitan: Waktu 2 Jam Tak Cukup Untuk Suara Emas Cakra Khan!
Artikel Berkaitan: ‘Kerajaan, Lihatlah Ini Semua..Asapnya Sudah Mengganggu Saudara Kita Di Negara Jiran’ – Cakra Khan
Boikot

Ketika ditemui OhBulan!, Cakra, memaklumkan bahawa terdapat beberapa acara yang sepatutnya menampilkan dirinya, namun terpaksa dibatalkan susulan pihak penganjur kurang senang dengan tindakannya menyuarakan pendapat.
Saya memang sudah dipinggirkan (boikot) tetapi tidak mengapa. Cuma, prinsip saya, saya akan selalu menyuarakan apa yang saya fikirkan.
Menurut saya, tidak ada yang salah untuk memberikan pendapat. Sehingga kini, saya tidak pernah menghakimi seseorang secara peribadi.
Saya cuma mahu meningkatkan kesedaran (awareness) tentang sesuatu isu, terutama apabila banyak masyarakat yang terkena kesannya.
Cakra berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert A Night Of Soul di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada petang Selasa.
Mengulas lanjut, Cakra berkata tindakan beraninya menyuarakan pendapat telah mengundang pelbagai kecaman sehingga ada pihak mengugut untuk mendedahkan maklumat peribadinya.
Bagaimanapun, pelantun lagu Harus Terpisah itu menegaskan perkara tersebut tidak akan menghalangnya daripada terus menyuarakan pendapat kerana dia juga mempunyai hak sebagai rakyat biasa.
Menurut Cakra, segala ancaman yang diterima itu sama sekali tidak menjejaskan kesihatan mentalnya.
‘Kalau di Indonesia, perkara seperti ini sudah biasa. Apabila ada seseorang yang menyuarakan pendapat bertentangan, semua akan diboikot. Jadi, saya biarkan sahaja.
Ada yang mahu memuat naik KTP (Kad Tanda Penduduk) saya dan macam-macam lagi.
Memang pernah ada pihak yang mahu berbuat demikian, tetapi akhirnya mereka tidak berani kerana kita juga mempunyai undang-undang.
Kalau mereka memuat naik maklumat peribadi saya, pasti mereka boleh dikenakan tindakan.
Terdahulu, Cakra meluahkan rasa kesal berhubung isu jerebu serta pembakaran terbuka yang kini semakin membimbangkan sehingga merentasi sempadan negara jiran.
Dalam perkembangan lain, Cakra merupakan salah seorang artis yang akan ditampilkan dalam konsert A Night Of Soul bersama Datuk Amy Search, Datuk Ziana Zain, Siti Nordiana dan Khai Bahar pada 12 Disember ini.








