berita

Waktu 2 Jam Tak Cukup Untuk Suara Emas Cakra Khan!

September 24th, 2023 | by Shahrin
Kini Trending

Cakra Khan

Meskipun hujan rintik-rintik di luar, ia tidak menjadi penghalang untuk peminat hadir dan memenuhi setiap ruang di Zepp Kuala Lumpur bagi menikmati persembahan penyanyi terkenal Indonesia iaitu Cakra Khan dalam Konsert Dream Festival Collaboration Volume 4.0, yang berlangsung baru-baru ini.

Konsert Dream Festival Collabration

Cakra Khan

Kehebatan vokal Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman tidak perlu disangkalkan lagi apabila konsert yang berlangsung selama dua jam itu bagaikan tidak cukup untuk peminat yang hadir.

Tidak keterlaluan jika dikatakan tiada sesaat pun momen bosan yang dirasai penonton apabila penyanyi berusia 31 tahun bijak memancing peminat untuk sama-sama mendengar setiap lagu yang didendangkan dari mula hingga bait lirik terakhir.

Sewaktu di atas pentas, Cakra tidak memerlukan sebarang gimik untuk memukau penonton, cukup dia membuka mulutnya dan menyampaikan untaian lagu galau hits miliknya.

Antara lagu yang disampaikan adalah Setelah Kau Tiada, Mencari Cinta Sejati, Kekasih Bayangan, Harus Terpisah dan banyak lagi.

Cakra Khan

Cakra juga tidak perlu berusaha keras untuk membuktikan dia seorang penyanyi hebat apabila semua lagu yang disampaikan penonton boleh ikut sing along.

Cakra sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penonton yang hadir pada malam tersebut.

Saya bersyukur diberi kesempatan sekali lagi untuk menghiburkan peminat di Malaysia. Saya sangat gembira apabila setiap kali datang ke sini, sambutannya sangat luar biasa.

Jadi, persembahan saya pada malam ini adalah sebagai tanda penghargaan buat kalian yang tidak pernah jemu menyokong saya, sayang kalian semua.

Sesekali ingin tampil dengan kelainan, Cakra turut menyampaikan beberapa buah lagu Inggeris seperti Iris (Goo Goo Dolls), I’m Not The Only One (Sam Smith), Monster dan Tenesse Whiskey (Chris Stapleton).

Saat Cakra menyampaikan lagu Tenesse Whiskey, dia kelihatan sebak dan ada ketikanya tidak dapat menyanyi dengan sempurna kerana teringat arwah bapanya. Jelas Cakra, lagu tersebut begitu bermakna dan cukup dekat dengan ayah tercinta.

Cakra Khan

Turut memeriahkan suasan konsert dengan penampilan dua penyanyi wanita yang meningkat naik iaitu Riri Moeya dari Indonesia dan juara program realiti, Big Stage musim ke-5, Nadeera Zaini.

Dalam konsert itu, Riri mengajak penonton bergoyang dan menari ketika menyampaikan lagu yang berentak pop seperti Ku Menunggu, Every Summer Time, Peka dan Sengaja Salah.

Sementara itu, Nadeera kekal dengan identiti vokal power house menyanyikan lagu Emas, Rindu, Karena Ku Sanggup dan Dia Penggantimu.

Cakra Khan

Kehangatan konsert terus dirasai ketika segmen duet yang mana Cakra bersama Nadeera menyampaikan lagu Seluruh Cinta, manakala bersama Riri menyampaikan lagu Terlanjur Cinta. Tidak kurang tidak melebih, cukup rasa!

Ketika konsert sedang berlangsung, tumpuan tiba-tiba beralih ke arah penyanyi terkenal yang juga dari Indonesia iaitu Datuk Seri Rossa yang hadir memberi sokongan kepada Cakra.

Sempat berkongsi pengalaman bersama Rossa, Cakra berkata pelantun lagu Pudar itu antara individu pertama yang membawanya masuk ke dalam industri muzik.

Saya ingin menyapa mentor saya yang hadir pada malam ini iaitu Rossa. Beliau selalu datang memberi sokongan ketika saya membuat persembahan di Malaysia.

Rossa yang pertama kali membawa saya ke Malaysia. Jadi, saya akan ingat jasanya sampai bila-bila. Tanpa beliau, saya tidak akan berada di sini

Usai 16 buah lagu dinyanyikan, Cakra yang sudah mahu meninggalkan pentas terpaksa berpatah balik selepas penonton menjerit “we want more”.

Enggan mengecewakan penonton, Cakra sahut cabaran dengan belanja satu lagi buah lagu berjudul Terlanjur Cinta yang dipopularkannya bersama Hael Husaini.

SKIP THIS AD ×