Penerbit terkenal, Datuk A Aida bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap dua pelakon iaitu Idris Khan dan Amelia Thripura Henderson ekoran melanggar penjanjian kontrak penggambaran sebuah drama terbitan A Aida Production, Sekali Lagi Cinta Kembali.
Rasa kena ‘kencing’
Menurut A Aida, 52, tindakan saman itu terpaksa diteruskan kerana Idris dan Amelia telah menarik diri di saat akhir dengan alasan yang tidak munasabah.
Ulasnya lagi, dua pelakon tersebut sudah menandatangani kontrak dan menerima bayaran pendahuluan sebanyak lima peratus.
Sebenarnya ini kali ketiga saya ‘dikencing’ oleh hero dan heroin saya. Dulu pernah terjadi tapi masa itu saya tak ambil tindakan, tapi kali ini saya ambil tindakan kerana penarikan diri itu berlaku pada saat akhir.
Esok iaitu 16 Jun penggambaran nak dimulakan, tapi 15 Jun, pihak pengurusnya memberitahu dia (Amelia) mahu menarik diri.
Saya tanya pada pihak pengurusan Idris Khan mengapa dia mahu menarik diri. Tak tahu betul atau tidak tapi pihak pengurusannya menyatakan dia ambil tawaran berlakon drama ini kerana Amelia Henderson. Bila Amelia tarik diri dia pun mahu tak tarik diri.
Saya pun tersentap dan terkedu kerana tidak profesional langsung. Kita sudah tanda tangan kontrak lama iaitu dua hingga tiga bulan sebelumnya.
Dan Mei lalu saya lock dia sebab di Malaysia ini nak cari pelakon watak hero dan heroin bukan senang. Kedua-duanya sudah menandatangi kontrak dan lima peratus bayaran pendahuluan juga sudah diambil.
Dah telefon banyak kali
Tambah pemilik nama Zaidah Awang, dia terpaksa menanggung kerugian yang besar iaitu kira-kira RM150,000. Malah, pengarahnya, Riza Baharudin cuba untuk memujuk dengan menelefon pihak Amelia dan Idris, namun panggilan tidak berjawab.
Nak pujuk tu tidaklah, no way. Banyak kali pengarah, Riza telefon tapi tak angkat. Jadi kami anggap memang diorang tak mahu.
Banyak kerugiannya sebab seminggu kita nak buat penggambaran itu kita sudah bayar banyak benda dari segi kelengkapan, pengarah, lokasi dan sebagainya.
Semuanya dalam ratusan ribu sebab bukan main-main, ini drama 28 episod dan ini adalah projek bernilai RM1 juta. Bukannya projek ratusan ribu.
Anggaran bayaran yang saya sudah bawa keluar dalam RM150,000 untuk produksi ini. Jadi saya sangat sedih bila sikap tidak profesional ini berlaku.
Dalam pada itu, A Aida, menegaskan tindakan yang diambil itu untuk dijadikan pengajaran serta bagi menanggung balik kerugian yang dihadapi.
Sumber: Instagram @theidriskhan & @ameliath