Penerbit terkenal, Datuk A Aida tidak menggalakkan anaknya, Azeva Natassha menceburi bidang seni dan bergelar pelakon sepenuh masa meskipun melihat potensi besar dengan bakat yang dimiliki.

Artikel Berkaitan: A Aida Hanya ‘Blacklist’ Ruhainies Daripada Berlakon, Hubungan Sebagai Kawan Masih Baik – ‘Kalau Jumpa Masih Boleh Salam, Peluk’

Artikel Berkaitan: ‘Jangan Derhaka Kahwin Senyap-Senyap, Nanti Satu Sen Harta Tak Dapat’ – A Aida Nasihat Anak Perempuan

Tak Galak Jadi Pelakon

A Aida atau nama sebenar Zaidah Awang berkata, dia mahu anaknya mengambil alih syarikat yang dibangunkan selama ini iaitu A Aida Production dan menggalas tanggungjawab sebagai akauntan.

Begitu pun, penerbit berusia 55 tahun ini tidak menghalang anaknya untuk berlakon tetapi akan mengawal kekerapan muncul di kaca televisyen.

Anak saya hanya boleh berlakon dengan A Aida Production sahaja. Ramai rakan pengarah yang ingin ambil dia berlakon, tetapi saya tidak izinkan.

Saya mahu dia fokus sebagai akauntan untuk syarikat. Syarikat sangat sibuk dan banyak kerja seperti menguruskan invois perlu dia uruskan. Saya mahu dia uruskan syarikat.

Lagipun, dia sambung pengajian dalam bidang akautan, rugi kalau dia tinggalkan apa yang sudah dia belajar dahulu. Kemunculan dia di kaca televisyen akan dikawal oleh saya.

Walaupun saya dalam bidang industri, tetapi untuk anak saya biarkan dia hanya suka-suka sahaja. Saya tak mahu dia jadi pelakon sepenuh masa. Saya tak galakkan dia masuk industri seni.

A Aida berkata demikian ketika ditemui di sidang media telefilem Bos Nak Cuti lakonan Aniq Suhair dan Azeva Natassha yang akan bersiaran di Salam HD 113, jam 3 petang, Ahad.

Penerus legasi A Aida Production

Walaupun tidak membenarkan Azeva aktif dalam dunia seni, A Aida tetap menghantar anaknya menghadiri kelas lakonan agar bersedia sekiranya diperlukan untuk berlakon.

Saya ada hantar dia masuk kelas lakonan dengan Fauziah Nawi sebagai persiapan jika pada masa akan datang saya mahu dia berlakon lagi.

Bercerita lanjut, A Aida memberitahu anaknya sebelum ini pernah menyatakan rasa kurang berminat dengan industri hiburan, namun terkejut apabila berubah fikiran selepas menamatkan pengajian.

Dahulu, saya lihat Azeva boleh mewarisi legasi seni saya, ada bakat berlakon dan menyanyi. Tapi dulu dia tidak minat. Saya cakap dengan dia nak bagi A Aida Production kepadanya.

Namun saya tidak mahu bagi kosong, setidaknya dia memiliki sijil tahap pendidikan yang tinggi, itu yang dia ambil keputusan sambung pengajian dalam bidang akauntan. Andai satu hari dia ambil alih syarikat, saya tak risau.

Selepas habis belajar, dia cakap yang dia dah minat berlakon, saya terkejut. Sebab sebelum ini dia kata tak minat. Itu yang saya suruh dia berlakon dalam drama Bos Nak Cuti dan gandingan dengan Aniq Suhair.

Sinopsis Bos Nak Cuti

Bos Nak Cuti mengisahkan Melati (Azeva) yang terdesak mahu cuti untuk pulang ke kampung, tetapi dihalang bos barunya, Adrian (Aniq). Melati nekad menipu Adrian kononnya perlu ke luar bandar demi tugasan kerja, namun sebenarnya membawa bosnya pulang ke kampung.

Pelbagai insiden lucu dan konflik berlaku, termasuk cinta tak dijangka yang mula berputik antara mereka. Ketegangan memuncak apabila Melati hampir bertunang dengan lelaki kampung yang rupa-rupanya penipu. Akhirnya, Adrian hadir sebagai penyelamat dan melamarnya dengan restu ibu.