berita

Abai Anak 3 Tahun Sampai Mati, Wanita & Teman Lelaki Mengaku Bersalah

April 1st, 2024 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Berita Harian

Seorang wanita dan kekasihnya yang dituduh mengabaikan kanak-kanak berusia tiga tahun hingga mengakibatkan kematian mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, pada Isnin.

Ibu, kekasih mengaku bersalah

Foto: Sinar Harian

Memetik laporan Sinar Harian, mengikut pertuduhan,  Noraini Haron, 42, dan Mohd Khairul Shamsua Israk, 38, dengan niat bersama sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Nuraireen Afeeya Muhammad Padzli telah mengabaikan kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kematian.

Perbuatan kejam itu dilakukan tertuduh dari 18 Mac hingga 24 Mac 2024 di sebuah rumah di Taman Mayung di Port Dickson.

Susulan daripada itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan tidak menawarkan jaminan kerana menyifatkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius. Noraini yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana tidak bekerja dan mempunyai tiga anak anak termasuk mangsa. Manakala Mohd Khairul memberitahu, dia hanya bekerja sebagai pembantu bengkel dan mempunyai enam orang anak serta menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Sebutan semula kes untuk laporan forensik 2 Mei depan.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Port Dickson bagi membantu siasatan membabitkan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan dari Hospital Port Dickson pada 24 Mac memaklumkan mangsa dalam keadaan kritikal akibat terjatuh daripada kenderaan.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×