
Pelakon, Fattah Amin menzahirkan ucapan terima kasih kepada peminat yang telah mengundi sehingga membolehkan dirinya merangkul trofi Aktor Filem Popular dan Artis Kontroversi Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37).
Artikel Berkaitan: ABPBH37: ‘Saya Dah Balik Hotel Tukar Baju, Suami & Anak Tunggu Di Kedai Makan’ – Ernie Zakri Perjelas Sebab Pakai Blouse & Bertudung Sarung
Artikel Berkaitan: Amira Othman & Fattah Aminkan Doa Netizen Fasal Zuriat – ‘Kami Akan Kongsi Bila Tiba Masanya’
Rezeki peminat

Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata, kemenangan tersebut merupakan kejayaan bersama peminat yang setia mengiringi perjalanan seninya sejak awal pembabitan dalam industri hiburan.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya sejak dahulu lagi.
Saya tahu ABPBH adalah anugerah berdasarkan undian peminat, jadi kemenangan ini sebenarnya adalah kemenangan untuk peminat juga. Mereka mengundi siang dan malam serta berkongsi kempen di media sosial.
Dalam pada itu, Fattah mengakui tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi kategori Aktor Filem Popular, memandangkan calon-calon lain juga begitu hebat.
Sejujurnya, saya tidak menjangka akan menang Aktor Filem Popular kerana saya ingat saya tercalon untuk kategori Aktor TV Popular. Tambahan pula, ramai rakan artis lain yang tercalon dalam kategori sama dan semuanya hebat.
Dalam pada itu, diminta mengulas kemenangan dalam kategori Artis Kontroversi Popular, Fattah mengakui terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang.
Kata aktor itu, apa jua kategori yang dimenanginya, sokongan peminat tetap menjadi keutamaan dan sumber motivasi untuk terus memberikan yang terbaik dalam kerjayanya.
Saya terkejut menang kategori kontroversi itu dan tertanya-tanya sejak bila wujud kategori ini. Saya bertanya kepada pihak produksi dan dimaklumkan kategori ini pernah ada sebelum ini dengan nama Artis Sensasi Popular.
Saya tanya wakil ABP, betul ke saya ini artis kontroversi? Peminat tahu saya bukan artis yang suka cari kontroversi. Namun, apa pun, ini juga rezeki.
ABPBH sangat berkait rapat dengan peminat dan mungkin peminat saya teruja apabila saya tercalon dalam kategori ini.
Tercalon atau menang dalam kategori apa sekalipun, saya hargai peminat yang mengundi. Sebagai artis, saya jadikan setiap kemenangan sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha dan memberikan yang terbaik.
Terdahulu, Ernie Zakri dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH37 selepas berjaya meraih 124,448,198 undian sekali gus mengetepikan empat calon lain iaitu Wani Kayrie, Emma Maembong, Sweet Qismina dan Tracie Sinidol.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga berjaya membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM30,000 beserta trofi.






