
Anggota kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz mengakui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi detik yang mencabar buat dirinya dan anggota yang lain, namun melihat ujian tersebut sebagai peluang untuk berehat selepas sekian lama sibuk dengan pelbagai komitmen.
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Stesen TV Anggap Program Islamik Tidak Laku, Agak Bahaya’ – Azadan Gesa Sokongan Program Ketuhanan Diteruskan
Artikel Berkaitan: Lagu Intifada Cipta Fenomena, Rabbani Percaya Itu Rezeki Daripada Allah – ‘Bila Buat Sesuatu Kena Pastikan Kualiti’
Selepas dilanda ujian, ada rezeki
Ketika ditemui OhBulan!, Azadan, 53, menyifatkan pengalaman perit itu sebagai satu ujian yang banyak mengajar dirinya tentang erti kehidupan, selain percaya setiap dugaan yang diberikan merupakan tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.
Alhamdulillah, saya pun tak sangka, kawan-kawan semua diam dan senyap membawa diri bersama keluarga masing-masing ketika PKP dulu.
Kami merasakan mungkin ujian ini tanda Allah mahu kami berehat dan menjaga keluarga setelah sekian lama ke hulu ke hilir siang, malam, pagi dan petang.
Alhamdulillah, kami masing-masing belajar erti susah senang.
Bagi orang yang berjuang dan beriman, ujian itu adalah satu nikmat.
Jika tiada ujian, kita akan tertanya-tanya adakah Allah tidak memandang kita? Kami yakin ujian yang diberi adalah tanda Allah sayangkan kami.
Tambah Azadan lagi, setahun selepas pemergian vokalis utama kumpulan nasyid itu, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim pada tahun 2010, Rabbani kembali menerima sambutan luar biasa apabila jadual persembahan mereka kembali padat seperti zaman kegemilangan album ‘Intifada’.
Selepas satu tahun Allahyarham Ustaz Asri meninggal dunia, jemputan untuk Rabbani buat persembahan macam zaman kegemilangan album Intifada dahulu.
Kami tak duduk rumah dan jadual penuh.
Ada satu bulan yang sampai kami dapat 45 persembahan.
Dari situ kami yakin yang orang nak tengok Rabbani bertahan dalam industri seni ini.
Azadan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Malam Qolbu di Royale Chulan The Curve.
Sokongan rakan industri
Bercerita lanjut, Azadan memaklumkan kumpulan Rabbani menerima jemputan membuat persembahan di Dubai meskipun ketika itu mereka masih bergelut dengan kehilangan seorang anggota.
Ada satu hari, kami dapat panggilan dari Dubai untuk membuat persembahan. Saya cakap ‘kami dah kehilangan salah seorang anggota’.
Tetapi penganjur di Dubai kata, mereka mahu melihat Rabbani yang ada sekarang.
Kami rasa itu adalah hadiah daripada Allah untuk menghilangkan tekanan yang kami hadapi ketika itu.
Dalam pada itu, Azadan turut meluahkan rasa terharu atas sokongan rakan seindustri, khususnya kumpulan Inteam yang sanggup menggantikan persembahan Rabbani serta menyerahkan bayaran persembahan tersebut kepada mereka selepas pemergian Allahyarham Ustaz Asri.
Semua kawan-kawan sokong dan yang kami nampak bila kita hidup dengan kawan-kawan ini, bila kita kehilangan, semua sokong kita.
Kami terharu macam kumpulan Inteam, saya pun tak sedar rupanya selepas seminggu arwah Ustaz Asri meninggal, mereka gantikan persembahan kami dan duit persembahan itu mereka beri kepada kami.
Ujar Azadan lagi, persahabatan dan silaturahim memainkan peranan besar dalam kehidupan kerana ia menjadi asbab kepada keberkatan rezeki dan kehidupan.
Persahabatan ini sangat penting kerana janji Nabi Muhammad SAW, orang yang menjaga silaturahim akan dipanjangkan usia dan dilimpahi rezeki.
Bila kita menjaga agama Allah, insyaAllah Allah akan menjaga kita.