
Penyanyi Den Manjo, bersyukur dan tidak menyangka lagu duetnya bersama Eda Ezrin, sekali lagi menjadi fenomena dan diterima ramai.
Artikel Berkaitan: Eda Ezrin & Den Manjo Rangkul Lagu Etnik Terbaik Di Pentas Anugerah Industri Muzik Ke-24 – ‘Lagu Kelantan Pertama Yang Menang’
Artikel Berkaitan: Eda Ezrin & Den Manjo Martabatkan Lagu Dialek Kelantan, ‘Cinta Setandan Pisang’ FYP Di TikTok!
Jadi Fenomena
Ketika ditemui OhBulan!, Den atau nama sebenarnya Mohamad Hafizzudin Md Yusof menyifatkan, lagu berjudul Adek Saye Abe Sore sebagai salah satu rezeki terbesar meskipun single berkenaan didendangkan dalam dialek Kelantan.
Apabila kami tampil dengan single Adek Saye Abe Sore dan pada masa sama lagu itu turut memasuki senarai For You Page (FYP) di TikTok, saya anggap itu juga satu rezeki.
Rezeki bukan sahaja untuk saya dan Eda, malah untuk komposer, Eddie serta seluruh pasukan.
Saya sangat bangga kerana sekali lagi lagu kami menjadi tular dan boleh dikatakan mencipta fenomena, bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di seluruh Malaysia.
Walau bagaimanapun, Den mengakui bukan mudah untuk menembusi pasaran muzik ketika ini terutama apabila lagu yang dihasilkan bertemakan dialek sesebuah negeri.
Hendak kata mudah, memang tidak. Agak susah juga kerana banyak lagu dialek Kelantan yang sudah dikeluarkan, tetapi tidak semuanya berjaya memasuki FYP.
Mungkin orang panggil keserasian, tetapi bagi saya yang paling utama ialah rezeki. Selain itu, faktor melodi dan kesesuaian lirik yang ditulis juga memainkan peranan.
Apabila melodi dan lirik saling melengkapi, barulah sesebuah lagu itu benar-benar menjadi.
Den berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Kelate Ke KL 2026 yang berlangsung di Hotel St. Giles, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Den turut meluahkan rasa terharu berikutan sambutan luar biasa daripada peminat terhadap lagu-lagu nyanyiannya walaupun kini dia sedang sibuk dengan jadual kerja yang sangat padat.
Kalau hendak cakap penat, memang penat. Sebenarnya sebelum lagu Bea Sobar Bea menjadi fenomena di seluruh Malaysia, saya dan Eda sudah pun dikenali menerusi lagu Adik Janda Abang Duda.
Jadi, soal penat itu memang tak dapat dinafikan, tetapi ia menggembirakan. Sebelum ini, kami tak pernah bekerja sampai ke tahap seperti ini. Walaupun penat, kami tetap seronok. Memang berbaloi kerana inilah rezeki yang Allah berikan.
Untuk info, muzik video lagu gubahan Eddie Hamid dan Mekiya dengan lirik oleh Fadhil Turbo, Anna, Jaju serta Te Ha itu kini meraih lebih 17 juta tontonan di YouTube.
Bukan itu sahaja, lagu dendangan Den dan Eda iaitu Cinta Setandan Pisang atau lebih dikenali sebagai Bea Soba Bea pernah memperoleh kemenangan bagi kategori Lagu Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24.








