
Pelakon, Afiq Muiz selamat mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihan hatinya dalam sebuah majlis yang berlangsung pada Rabu.
Artikel Berkaitan: Afiq Muiz Ceraikan Pachara Talak Satu
Bertunang

Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Afiq menerusi satu hantaran di Instagram dengan memuat naik sekeping foto bersama tunangnya sambil menulis kapsyen ringkas berbunyi ‘Alhamdulillah, kita lock’.
Dalam perkongsian tersebut, Afiq dan bakal isterinya dilihat mengenakan persalinan sedondon berwarna hijau, sekali gus menyerlahkan seri mereka.
Bagaimanapun, pelakon berusia 34 tahun itu memilih untuk tidak berkongsi identiti bakal isterinya secara terperinci apabila wajah wanita tersebut ditutupi dengan jambangan bunga.
Sementara itu, adik kepada Afiq yang juga pelakon, Aishah Azman turut meluahkan rasa syukur dan gembira melihat abangnya kini melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Aishah menitipkan ucapan selain mendoakan agar segala urusan pasangan tersebut dipermudahkan sehingga ke alam perkahwinan.
Melihat awak melangkah ke fasa baru ini memang terasa macam mimpi. Saya sangat gembira dapat menyaksikan detik ini untuk awak.
Semoga kalian berdua dikurniakan kehidupan yang penuh dengan cinta, ketenangan, gelak tawa, dan sebuah rumah yang sentiasa menjadi tempat paling selamat untuk satu sama lain.
Semoga segala urusan dipermudahkan hingga hari perkahwinan dan seterusnya. Sangat bangga dengan awak, satu-satunya abang saya.
Untuk rekod, Afiq sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan wanita dikenali sebagai Pachara Apin pada tahun 2019 sebelum mereka memilih untuk berpisah pada 2023.
Sumber: Instagram








