berita

Ahli Perniagaan Belasah, Ugut Bunuh Pekerja Berpuasa Ditahan Polis

April 15th, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Semalam, tular satu kisah di mana dua orang lelaki yang berkhidmat sebagai pengawal peribadi telah dibelasah oleh seorang ahli perniagaan kerana berpuasa. Tidak berakhir di situ, suspek juga didakwa telah mengacukan pistol dan mengugut untuk membunuh kedua-dua mangsa.

Susulan apa yang telah terjadi, lapor Harian Metro empat individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut telah ditahan oleh pihak polis.

Alami kecederaan di tubuh badan

Foto: Info Roadblock JPJ/Polis

Lapor Malaysia Gazzette, menerusi kenyataan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, kejadian tersebut dipercayai berlaku di lobi One KL Condominium Complex, Jalan Pinang pada jam 10 malam, dua hari lepas. Kes tersebut telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa mengalami darah beku pada tubuh badan berikutan insiden itu. Kejadian tersebut bermula apabila suspek bertanyakan kepada mereka berdua sama ada berpuasa atau tidak, susulan mendengar jawapan daripada mereka, suspek bertindak menampar dan mengetuk kepala mangsa menggunakan telefon bimbit.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu (mangsa) bersama kawannya bernama (Azminizam) berada kondominium itu, majikannya bernama Chung yang merupakan suspek telah bertanyakan kepada mangsa dan rakannya adakah mereka berdua berpuasa pada hari ini.

Setelah pengadu memberitahu berpuasa, suspek telah memarahi pengadu dan telah menampar kepalanya sebelum pengadu bersama rakan sekerjanya mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang Selangor.

‘Tak suka pekerja berpuasa’

Foto: Info Roadblock JPJ/Polis

Apa yang lebih mengejutkan, apabila kedua-dua mangsa turut dipukul menggunakan sebatang rotan, ditumbuk dan ditendang sebaik sahaja tiba di rumah suspek. Susulan daripada kejadian tersebut, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, bagi mendapatkan rawatan yang selanjutnya.

Suspek juga dipercayai tidak menyukai kedua-dua mangsa berpuasa dan memaksa mereka untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadan.

Lebih menyedihkan lagi, pekerja suspek juga telah mengambil kesempatan memukul pengadu serta rakannya semasa berada di rumah suspek di Batu Nilam Klang dengan menggunakan sebatang rotan sehingga menyebabkan pengadu mendapat kecederaan lebam dan mengalami darah beku.

Ketika berada di rumahnya, suspek telah merampas sepucuk pistol jenis Glock milik rakan pengadu dan telah mengacukan senjata itu ke arah pengadu sambil membuat ugutan bunuh.

Sumber: Malaysia Gazzette & Harian Metro

SKIP THIS AD ×