
Dulu menghasilkan lagu perlukan penyanyi, komposer, pemuzik dan studio. Hari ini, beberapa arahan kepada AI sudah mampu menghasilkan melodi, muzik dan vokal dalam masa yang jauh lebih singkat. Di Malaysia sendiri, fenomena itu bukan lagi teori.
Personaliti media sosial Azlan The Proton Type pernah menjadi perhatian selepas lagu berasaskan AI yang dihasilkannya secara suka-suka menjadi trend di media sosial. Azlan sendiri mengakui karya itu menggunakan AI dan menganggap teknologi tersebut sebagai alat, bukan ancaman kepada penggiat muzik profesional.
Kalau lagu AI sudah boleh membuat orang menyanyi bersama dan menjadi viral, soalan seterusnya lebih rumit.
Sekiranya ia mendapat jutaan stream, patutkah ia bertanding dalam carta yang sama dengan penyanyi sebenar?
Artikel Berkaitan: ‘Lagu AI Untuk Tujuan Pemasaran, Aku Tak Ada Benefit Kerana Tiada Hak Cipta’ – Azlan The Proton Type
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Tak Sokong Guna AI Untuk Hasilkan Lagu, Ramai Belum Diberi Peluang Serlahkan Bakat’ – Daiyan Trisha
Industri Muzik Tempatan Perlu Fikir Tentang Lagu AI
Menariknya, industri muzik antarabangsa sebenarnya sudah mula menetapkan sempadan. Pada Julai 2026, International Federation of the Phonographic Industry (IFPI) memperkenalkan prinsip global baharu untuk menentukan kelayakan karya yang menggunakan generative AI dalam carta rasmi.
Dan Official Malaysia Chart termasuk dalam senarai carta Asia Tenggara yang akan menggunakan prinsip tersebut.
Antara prinsip utamanya, karya yang layak perlu kekal secara asasnya hasil kreativiti manusia, menggunakan teknologi AI secara sah dan tidak mempunyai angka streaming yang dimanipulasi.
Maksudnya, persoalan lagu AI dalam carta bukan lagi masalah negara luar. Malaysia sendiri sudah berada dalam perbincangan itu.
Kalau Guna AI, Masih Boleh Dipanggil Komposer?
Fenomena tempatan turut mencetuskan perbezaan pandangan dalam kalangan artis.
Penyanyi dan komposer Aepul Roza berpendapat industri tidak perlu terlalu takut dengan perkembangan AI kerana teknologi memang sentiasa berubah. Namun dia membuat satu pemisahan penting.
Menurut Aepul, seseorang yang hanya menggunakan AI untuk menghasilkan keseluruhan lagu tidak sewajarnya terus dianggap sebagai komposer sebenar kerana proses mencipta melodi masih mempunyai nilai tersendiri.
Yuna pula melihat AI sebagai alat yang boleh membantu kerja kreatif tetapi tidak sepatutnya mengambil alih keseluruhan proses. Baginya, emosi dan pengalaman manusia masih menjadi unsur yang memberikan ‘jiwa’ kepada muzik.
Di sinilah persoalan carta menjadi menarik. Jika manusia menulis lagu dan menyanyi, tetapi AI digunakan untuk membantu mastering atau menghasilkan elemen tertentu, karya itu masih jelas mempunyai pencipta manusia.
Tetapi bagaimana pula jika vokal, melodi dan muzik semuanya dijana AI? Siapa sebenarnya artisnya?
Lagu AI Boleh Dihasilkan Tanpa Henti
Isunya bukan sekadar sama ada lagu AI sedap atau tidak. Jumlah muzik AI yang memasuki platform streaming kini sangat besar.
Deezer melaporkan pada Julai platform itu menerima kira-kira 90,000 lagu yang dijana sepenuhnya menggunakan AI setiap hari, dengan kandungan AI pernah melebihi 50 peratus daripada semua muzik baharu yang dimuat naik pada waktu kemuncaknya pada Jun 2026.
Lebih membimbangkan, Deezer berkata sehingga 85 peratus stream terhadap kandungan AI sepenuhnya yang dikesannya pada 2025 dikaitkan dengan streaming fraud dan tidak dimonetisasi.
Bayangkan jika tiada peraturan. Seseorang boleh menghasilkan puluhan atau ratusan lagu sehari menggunakan AI, kemudian cuba mengejar angka streaming.
Penyanyi manusia pula mungkin mengambil masa berbulan-bulan menghasilkan satu single. Adakah kedua-duanya patut berlumba di trek yang sama?
AI Sebagai Alat Atau AI Sebagai Artis?
Mungkin garisan paling adil bukanlah ‘AI tak boleh digunakan langsung’. Industri muzik memang sentiasa menggunakan teknologi. Auto-Tune, synthesizer, sampling dan produksi digital juga pernah mengubah cara muzik dibuat.
Sebab itu industri kini mula membezakan antara AI-assisted iaitu manusia masih menjadi pencipta utama tetapi menggunakan AI untuk membantu sebahagian proses dan AI-generated bermaksud AI menghasilkan keseluruhan atau sebahagian utama rakaman.
IFPI bersama beberapa organisasi industri muzik turut menyokong penggunaan label seperti ini supaya pendengar tahu bagaimana sesebuah karya dihasilkan. Untuk industri muzik Malaysia, pemisahan itu mungkin semakin penting.
Lepas Carta, AIM Dan AJL Pula?
Bayangkan satu hari nanti lagu yang hampir sepenuhnya dihasilkan AI menjadi lagu paling viral di Malaysia. Kalau stream cukup tinggi, adakah ia patut berada di carta?
Dan selepas itu timbul pula soalan lebih sensitif, ‘patutkah ia layak bertanding dalam anugerah muzik?’
Kalau menang kategori komposer, siapa naik mengambil trofi? Orang yang menulis prompt? Orang yang memilih versi lagu? Atau AI itu sendiri?
Belum tentu industri tempatan perlu menjawab semua persoalan tersebut sekarang. Tetapi perkembangan semasa menunjukkan hari itu mungkin datang lebih cepat daripada dijangka.
AI tidak semestinya perlu menjadi musuh kepada muzik. Ia boleh menjadi alat baharu kepada komposer dan penerbit.
Tetapi apabila mesin mula menghasilkan keseluruhan karya dan bersaing untuk perhatian, stream serta kedudukan carta yang sama, industri perlu menentukan apa sebenarnya yang mahu diraikan.
Kalau carta hanya mengukur populariti, lagu AI mungkin layak berada di situ. Tetapi kalau carta turut meraikan kreativiti manusia, mungkin memang perlu ada satu garisan yang tidak boleh dilangkah oleh mesin.
Sumber: IFPI, Deezer, mStar, New Straits Times,






![[VIDEO] Syed Saddiq Teruja Nak Kahwin, Akui Bahagia Temui Bella Astillah – ‘Kenapa Malu? Saya Bersyukur’](https://asset.ohbulan.com/2026/09/syed-saddiq-8.jpg)

