Penyanyi dan komposer Aina Abdul mendedahkan dirinya hampir berputus asa untuk menyiapkan album sulung miliknya yang berjudul Imaji.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Apa Yang Ada Pada Marsha & Ernie, Tiada Pada Saya’ – Aina Abdul
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aina Abdul ‘Balas Dendam’ Lepas Adlin Aman Ramlie Komen Fesyen Macam ‘Mak Cik’
Hampir putus asa
Ketika ditemui OhBulan!, Aina berkata disebabkan jadual kerja yang begitu padat dan kesibukan memenuhi undangan persembahan membuatnya kesuntukan masa untuk menyiapkan album tersebut.
Saya tak sangka album ini akhirnya siap juga sebab saya hampir putus asa kerana kesuntukan masa. Tambahan pula saya ada konsert dan nak siapkan video muzik.
Saya sendiri tertanya-tanya sama ada boleh atau tidak saya siapkan album ini. Ada hari yang saya terpaksa rakam lagu pada malam hari kerana siangnya saya ada persembahan. Sampaikan masa untuk keluarga juga terbatas.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album Imaji yang berlangsung di Lereng Tanah, Hulu Langat pada Selasa.
Dalam masa masa, pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani itu turut meluahkan rasa syukur apabila akhirnya dapat meluncurkan album sulung selepas sembilan tahun berada dalam indsutri muzik tanah air.
Menyifatkan album Imaji sebagai hadiah hari ulang tahun kelahiran ke-30 paling bermakna buat dirinya, Aina juga menganggap album yang memuatkan 14 buah lagu itu sebagai hadiah buat peminat setianya yang telah lama menantikan album sulungnya.
Alhamdulillah akhirnya saya berjaya merealisasikan impian sekian lama untuk memiliki sebuah album penuh yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup saya sendiri.
Setiap lagu yang dihasilkan adalah interpretasi saya terhadap emosi diri yang sarat termasuklah rasa marah, sedih, kecewa, diabaikan, dicintai dihargai dan sebagainya.
Secara peribadi saya meletakkan piawaian yang tinggi untuk album ini kerana Aina Abdul merupakan seorang yang amat menitikberatkan soal mutu, kualiti muzik, bunyi dan gubahan dalam setiap karya.
Terasa hati dengan Tok Ram
Dalam pada itu, Aina juga akui pernah terasa hati dengan kenyataan yang dikeluarkan maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS yang mengatakan setiap penyanyi perlu mempunyai album penuh untuk menganjurkan konsert.
Sebenarnya waktu Tokram cakap begitu kena ada album untuk buat konsert, saya rasa menggeletar. Walaupun malam itu belum berakhir, saya sudah rasa yang semua orang sedang ketawakan saya. Saya dapat rasa orang sedang kata padan muka, padan muka.
Ketika itu saya rasa tercabar dan rasa sangat kerdil ketika itu duduk bersebelahan dengan Tokram. Saya rasa seperti nak balik waktu itu. Kalau saya ada magik, saya nak siapkan album pada ketika itu juga dan tunjukkan padanya.
Tetapi saya jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat untuk saya hasilkan album.
Album Imaji akan mula dipasarkan secara digital pada 25 Oktober bersempena dengan tarikh ulang tahun kelahiran Aina.
Bagi album tersebut, Aina turut bekerjasama dengan empat penerbit tersohor seperti Mac Chew, Jenny Chin, Ezra Kong dan Affan Mazlan.
Antara lagu yang terkandung dalam album Imaji adalah Jangan Mati Rasa Itu, Imaji, Puas Sudah, Kejam, Bilang, Lost, Penat Jiwa dan banyak lagi.
Dalam perkembangan lain, Aina bakal menganjurkan konsert berskala besar iaitu A Nigh With Aina Abdul 3.0 yang bakal berlangsung pada 18 November depan.