Penyanyi duo, AishaHanim bakal tampil dengan sebuah lagu raya baharu kerana berpendapat bahawa lagu raya versi moden juga mampu ‘trending’ sekiranya sesuai dengan selera pendengar.
Artikel Berkaitan: Fattah Amin Lancar 5 Lagu Zikir Sempena Bulan Ramadan
Artikel Berkaitan: Telekung Vida Kena Kecam, Netizen Tegur Agama Tak Boleh Buat Main
Lagu raya alaf baharu
Dalam pada itu, kedua-dua penyanyi ini juga yakin, lagu-lagu raya baharu turut mempunyai keistimewaan yang tersendiri khususnya dari segi komposisi melodi dan lirik kerana lebih moden disamping dapat menepati citarasa pendengar muda.
Memang kami sendiri suka mendengar lagu-lagu raya lama. Setiap kali Aidilfitri, lagu-lagu itu juga yang akan berkumandang. Tetapi lagu-lagu raya baharu pun sedap-sedap belaka.
Kami percaya, dunia muzik itu luas. Mungkin ada yang beranggapan, sukar untuk lagu raya baharu menambat hati peminat tetapi citarasa pendengar sekarang sangat subjektif.
Bukan itu sahaja, menurut adik beradik kembar ini, lagu raya yang berjudul Raya Rumah Terbuka merupakan cara mereka memeriahkan sambutan hari raya agar lebih unik.
Lagu ini juga adalah cara kami untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri itu sendiri. Kami cuba membawa pendengar kembali ke zaman kanak-kanak, ketika Aidilfitri disambut dengan penuh keriangan.
Irama muzik kugiran
Bercerita lanjut tentang lagu tersebut, AishaHanim menjelaskan ia berkonsepkan irama kugiran dan disuntik dengan elemen tradisional. Tambah mereka, lagu ini ditulis oleh Omar K dan lirik oleh Hanis Rafi serta Firdaus Rahmat.
Kami selesa bekerjasama dengan Omar K. Dia faham hala tuju muzik dan senang untuk berbincang. Raya Rumah Terbuka menggabungkan elemen tradisional dan kugiran serta lirik yang mengimbau nostalgia Aidilfitri.
Untuk muzik video pula, kami teruja apabila mendapat tajaan daripada sahabat kami, Datuk Aliff Syukri di salah sebuah pusat penginapannya. Kami memang mahukan suasana kampung itu.
Kami berharap bila peminat mendengar lagu ini, terus rasa teruja untuk menyambut lebaran dan meraikan kemeriahannya bersama keluarga.
Untuk makluman, lagu Raya Rumah Terbuka bakal dilancarkan pada bulan Ramadan ini di semua platform digital bersama muzik videonya secara serentak.