Ketua Juri Anugerah Juara Lagu 37 (AJL 37), Datuk Mokhzani Ismail mendedahkan persaingan sengit berlaku antara lagu ‘Terus Hidup’ nyanyian Aina Abdul dan ‘Satu Malam Di Temasek’ nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne.
Vokal yang memisahkan mereka
Menurut Mokhzani, lagu Terus Hidup bersaing rapat dengan Satu Malam Di Temasek namun apa yang memisahkan mereka sebagai juara dan naib juara adalah persembahan vokal.
Apa yang boleh saya katakan, malam ini kita dapat lihat dua lagu yang sangat dekat beza markah mereka iaitu Terus Hidup dan Satu Malam Di Temasek. Apabila permarkahan dibuat menerusi melodi, ia ada pada Terus Hidup, manakala kreativiti pula ada pada Satu Malam Di Temasek.
Namun, kedua-dua lagu mempunyai kekuatan pada lirik dan juga vokal. Tapi kami melihat kekuatan vokal dalam dua medium, iaitu vokal dalam album dan juga vokal atas pentas AJL 37. Apabila Aina dinobatkan sebagai Vokal Terbaik, ia adalah antara faktor yang mengangkat ia menjadi juara dengan kelebihan sebanyak dua markah. Begitu juga dengan lagu yang meraih tempat ketiga.
Kalau kita lihat ada tujuh buah lagu yang mempunyai genre pop dan balada. 1 lagu rnb, 2 Hip Hop dan 2 lagi etnik kreatif. Jadi kami barisan juri cuba mencari adakah kelainan lain yang dapat diangkat dan kita lihat naskhah yang dibawakan oleh lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos jadi pilihan.
Ketika sidang media AJL37 semalam, Mokhzani turut memberitahu lagu ‘Korban’ nyanyian Ernie Zakri dan ‘Kembali Terang’ nyanyian Marsha turut mendapat markah yang paling hampir dan berada di tempat keempat.
Sebulat suara
View this post on Instagram
Tambah Mokhzani, susunan lagu Terus Hidup di AJL 37 yang dijayakan oleh Jenny Chin sangat ‘berbahaya’ dan mampu menjerat Aina namun penyanyi itu sukses membawakannya dengan baik.
Jika diteliti semula persembahan ‘live’ Aina menerusi Terus Hidup berbading versi rakaman, ada sedikit perbezaan. Apa yang digarap oleh Jenny dalam susunan lagu itu bukan mudah. Versi ‘live’ Aina lebih dan teramat baik. Kalau disemak kembali bahagian akhir lagu yang dipersembahkan secara langsung, ada ‘progression chord’ yang boleh ‘menjerat’ Aina.
Menariknya, bahagian ‘susah’ itu disampaikan Aina dengan baik. Jadi, juri sebulat suara meletakkan Aina sebagai juara AJL 37 tanpa menidakkan kekuatan lagu Semalam Di Temasek yang hadir dalam satu naskhah bersifat luar biasa. Kami memang bersepakat dan selayaknya Aina jadi juara.