Pelawak Ali Puteh memaklumkan dia tidak lagi bergelar duta ayam serta mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pembekal.
Artikel Berkaitan: Ali Puteh Nafi Jual Ayam Untuk Bayar Duit Balu Abam RM60k – ‘Saya Tak Kerja Untuk Bayar Duit Itu’
Kecewa dengan apa yang berlaku
Menurut Ali, dia berasa kecewa apabila kerjasama dengan syarikat yang melantiknya pada April lalu tidak berjalan seperti yang dijanjikan.
Kata pelawak berumur 33 tahun, dia enggan namanya terbabit dengan skandal penipuan syarikat berkenaan terutamanya yang membabitkan hal bekalan ayam kepada peniaga dan pembeli.
Saya tidak mahu ada pihak yang berdepan dengan masalah apabila berurusan dengan syarikat pembekal itu selepas beberapa isu timbul.
Terus-terang saya juga kecewa dengan apa yang terjadi apabila perjanjian antara saya dengan syarikat itu tidak berjalan seperti yang sepatutnya.
Saya terima tawaran kerana diperkenalkan orang seorang kawan yang memang saya kenal dan peluang perniagaan turut ditawarkan bagi saya.
Saya melihat ia sebagai satu peluang terbaik untuk menjana pendapatan lebih stabil tapi perkara lain yang timbul.
Sanggup tolak tawaran lain
Lebih menyedihkan, adik kepada Allahyarham Abam Bocey ini tidak menerima sebarang bayaran meskipun sudah melakukan beberapa komitmen.
Malah, dia juga terlepas beberapa tawaran lain yang bernilai puluhan ribu demi tugas sebagai duta.
Sedih sebab saya lepaskan banyak tawaran lain untuk fokus pada peluang ini dan saya ada tanggungjawab serta tanggungan.
Saya terima dan saya percaya ada hikmah cuma saya perlu tampil untuk membuat penjelasan berhubung hal ini.
Dalam pada itu, pemilik nama Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan menyatakan dia mempunyai kontrak sah dengan syarikat berkenaan dan sudah beberapa kali cuba mendapatkan penjelasan namun tiada jalan penyelesaian.
Sumber: Instagram @aliputeh_official