Pelakon, Ali Reza Kavoosi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan dirinya pernah mengecewakan hati seorang penyanyi wanita.

Artikel Berkaitan: Ali Reza Sedia Buka Pintu Hati, Tak Kisah Usia Bakal Pasangan – ‘Boleh Terima Kekurangan Saya’

Kecewakan hati penyanyi

Ali, 28, berkata, dia tidak pernah menjalin hubungan istimewa dengan mana-mana penyanyi dan langsung tidak mengenali individu yang dimaksudkan.

Saya kecewakan hati seorang penyanyi? Siapa penyanyi yang dimaksudkan itu? Saya tak ada jalin cinta dengan penyanyi pun.

Tapi, dengan pelakon pernahlah, itu pun masa zaman awal-awal mula nak jadi pelakon dulu. Tapi tak perlu sebut nama, bahaya pula. Penyanyi memang tak ada.

Ali berkata demikian ketika ditemui di sesi fotografi bersama barisan pelakon drama Perempuan Tidak Ternikah yang diadakan di Balai Berita Bangsar, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, aktor berdarah kacukan itu menegaskan fokusnya kini lebih terarah kepada kerja dan keluarga.

Sekarang saya lebih banyak fokus pada kerja dan keluarga. Tapi saya dah mula buka hati untuk berkenalan dengan sesiapa di luar sana. Saya tak memilih dan terbuka untuk mengenali semua orang.

Tapi setakat ini, belum ada calon. Untuk serius dalam hubungan atau keluar ‘dating’, tak ada lagi. Sekarang ada juga borak dengan seorang wanita, tapi dia bukan orang Malaysia.

Agama penting

Tambah Ali lagi, dia hanya akan mempertimbangkan hubungan ke fasa seterusnya jika sudah benar-benar mengenali seseorang dan yakin dengan keserasian antara mereka.

Sampai satu tahap kalau dah rasa suka dan sesuai, barulah saya fikir nak ke fasa seterusnya. Tapi kalau tak serasi, kita bawa haluan masing-masing.

Saya agak susah nak cari pasangan sebab saya mahukan seorang yang betul-betul serasi dengan saya untuk jangka masa panjang.

Bagi saya, agama paling penting. Saya juga tengok ciri-ciri keibuan sebab saya nak fikir masa depan, bukan sekadar suka-suka.

Selain Ali, drama Perempuan Tidak Ternikah turut dibintangi Siti Elizad, Yusuf Baharin, Puteri Aisyah dan ramai lagi.