
Usahawan popular, Ojen Aiwahhh memilih Datuk Seri Aliff Syukri dan keluarga sebagai duta sempena pelancaran perisa Kunafa Aiwahhh terbaharu berasaskan buah-buahan iaitu Mangga Lima.
Aliff bagi idea

Menurut Ojen yang merupakan pengarah Aiwahhh Global Sdn. Bhd. dan juga pempengaruh terkenal, pemilihan pemilik nama Aliff Syukri Kamarzaman sebagai duta bertepatan kerana usahawan itu cukup sinonim dengan produk berasaskan buah mangga.
Aliff Syukri popular dengan jeruk mangga, jadi gandingan antara beliau dan produk terbaharu, Kunafa Mangga Lima sangat serasi.
Sebenarnya, kami sahabat lama dan Aliff yang mencadangkan untuk saya mengeluarkan kunafa perisa mangga memandangkan di Malaysia ramai peminat buah mangga.
Aliff menunjukkan bukti jualan jeruk mangga yang mencecah jutaan ringgit sebulan, jadi saya yakin bahawa kunafa berasaskan buah mangga memiliki potensi yang besar.
Meskipun begitu, Ojen menyatakan bukan mudah untuk Aliff bersetuju kerana dia belum pernah menjadi duta mana-mana produk makanan sebelum ini.
Aliff Syukri sekeluarga merupakan duta Kunafa Aiwahhh paling mahal pernah saya bayar. Walaupun bayarannya mahal, dia sangat komited dan memberi komitmen seratus peratus.
Bahkan sebelum bersetuju, Aliff meletakkan syarat untuk Kunafa Mangga Lima harus melepasi piawaian tekaknya terlebih dahulu kerana mereka sekeluarga memang pelanggan Kunafa Aiwahhh. Alhamdulillah, selepas merasai sendiri, Aliff terus memberikan persetujuan.
Bayaran mahal

Sementara itu, Aliff Syukri mendedahkan, dia menerima tawaran untuk menjadi duta produk pencuci mulut ini kerana yakin dengan kualitinya selain menerima bayaran yang lumayan.
Saya rasa tiada siapa yang mampu bayar saya untuk jadi duta produk seperti Ojen, sebab saya sendiri sudah kaya raya. Tetapi walaupun kami adalah sahabat lama, kerja tetap kerja.
Saya tidak akan buat kerja secara percuma. Siapa tidak mahu duit? (ketawa).
Mulanya dia agak terkejut dengan harga yang saya tetapkan, tetapi akhirnya bersetuju kerana saya datang dengan pakej satu keluarga. Kunafa Mangga Lima sedap, bayarannya pun sedap jadi saya terima.
Tambah pelantun lagu Bobo Di Mana, kolaborasi bersama Kunafa Aiwahhh memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak memandangkan masing-masing mempunyai produk berasaskan buah mangga selain pengikut yang berbeza peringkat usia.
Saya banyak terima tawaran untuk jadi duta dan kolaborasi bersama banyak jenama, tetapi saya tolak kerana selain sibuk, mereka tidak mampu untuk bayar saya.
Kebanyakan jenama hanya mahu menumpang populariti saya dan menarik perhatian pengikut saya yang kebanyakan berusia 40-an dan ke atas.
Bersama Ojen berbeza, selain mampu bayar saya, dia sendiri sudah popular dan mempunyai ramai pengikut dalam kalangan gen Z.
Pengikut dia kebanyakan orang muda, jadi kerjasama ini kami saling menumpang antara satu sama lain. Jadi, saya tidaklah rasa seperti dipergunakan, sebab saya pun mempergunakan dia (ketawa).
Kerjasama turut menampilkan keluarga Aliff Syukri termasuk isteri, Datin Seri Nur Shahida dan anak-anaknya, Ammar Ahyyan, Qadejah El Zahra dan Ibraheem Adham.
Kunafa Mangga Lima adalah hasil gabungan unik bahan premium iaitu mangga segar, buah delima, daun pudina, safron dan keju.
Menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama empat bulan, perisa kesembilan Kunafa Aiwahhh ini dijual pada harga RM45 dan boleh didapati di Havoc Food Festival di Stadium Shah Alam, Selangor dari 27 sehingga 31 Ogos ini.
Selain perisa Mangga Lima, Kunafa Aiwahhh juga terkenal dengan pelbagai perisa menarik antaranya, Original, Red Velvet, Oreo, Hazelnut Nutella, Biscoff, Dark Indulgence, Madu Tiga, dan Lumut Cheese berharga antara RM25 sehingga RM50.








