Berita kehilangan kanak-kanak autisme yang dikenali sebagai Zayn Rayyan akhirnya menemui jawapan apabila kanak-kanak tersebut ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan kediamannya pada malam Rabu.
Mayat mangsa yang berusia enam tahun itu ditemukan oleh sekumpulan penduduk kawasan sekitar yang menjalankan operasi mencari Zayn.
Artikel Berkaitan: Bapa Syok Pergi ‘Bercuti’, Anak 10 Tahun Ditemui Mati Di Rumah
‘Allah gerakkan hati saya’
Terbaharu, individu yang menjumpai mayat Zayn iaitu Faizol Najib mendedahkan bahawa dia sama sekali tidak menyangka akan menemukan jasad Zayn dalam keadaan yang tidak lagi bernyawa.
Menurut Faizol, dia hanya mengikut gerak hatinya untuk mencari di sekitar anak sungai tersebut meskipun kawasan itu sudah digeledah Unit Anjing Pengesan (K9).
Keadaan kawasan sekitar amat gelap, ketika saya suluh di sungai saya melihat sekujur tubuh dalam keadaan mengiring, dan bersama empat lagi penduduk, kami memeriksa keadaannya.
Sayu hati saya apabila disahkan kanak-kanak yang ditemui itu adalah Zayn Rayyan, saya lihat dia lengkap berpakaian dengan lencana sekolah seperti ditularkan.
Saya terus menghubungi rakan-rakan lain dan memaklumkan kepada polis yang sedang melakukan pencarian rumah ke rumah.
Mungkin Allah makbulkan doa semua jemaah, dan menggerakkan hati saya untuk mencari di kawasan terbabit.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid turut mengesahkan penemuan mayat mangsa.
Saya tidak dapat mengulas lanjut kerana kita baru menemui mayat mangsa dan kini dalam peringkat menyiasat lokasi sekitar kawasan mayat ditemui.
Terdahulu, Zayn dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai.
Kehilangan Zayn itu mula disedari ibunya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartment berkenaan.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian