Penyanyi, Datuk Nora Ariffin mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan menarik semula permohonan cerai yang difailkan terhadap suaminya, Dr Rushdi Ramli.

Artikel Berkaitan: Anak Nora Ariffin Jaga Hubungan Baik Dengan Dr Rushdi & Adik-Beradik Tiri – ‘Cuma Ada Gangguan Pihak Ketiga’

Artikel Berkaitan: ‘Selagi Belum Bercerai, Saya Tiada Hak Untuk Menghalau’ – Nora Ariffin

Jodoh masih panjang

Nora, 51, berkata keputusan tersebut dibuat selepas melalui pertimbangan yang panjang serta menaruh keyakinan terhadap ketentuan Allah SWT meskipun sebelum ini Rushdi juga pernah beberapa kali memohon agar kes berkenaan ditarik balik.

Sebenarnya sebelum ini Dr Rushdi pernah membuat permohonan supaya saya menarik balik kes, tetapi ketika itu saya masih 50-50. Namun untuk hari ini, saya ambil keputusan dan saya percaya dengan ketentuan Allah.

Allah tentukan bahawa jodoh kami masih panjang. Saya yakin apa yang berlaku ini adalah kehendak Allah.

Saya berserah kepada Allah. Cuma dari sudut perundangan, kita tetap akan ikut prosedur yang ditetapkan seperti perintah injunksi dan perkara-perkara yang perlu dibuat selepas ini.

Saya berharap tahun 2026 ini kita boleh lebih tenang. Saya juga sangat sibuk dengan kerja pada tahun ini dan ingin lebih fokus kepada diri sendiri serta kerjaya saya. Itu yang lebih penting.

Tambah pelantun lagu Di Persimpangan Dilema, keputusan tersebut tidak dibuat secara bersendirian, sebaliknya selepas berbincang dengan kakaknya, Wan Shuraya Ariffin serta ahli keluarga terdekat.

Selagi saya masih bergelar isteri, saya perlu menjaga hati suami. Saya tidak boleh memandang remeh kebaikan dia selama ini. Dia seorang suami yang baik. Bukan mudah untuk membuat keputusan ini.

Kita tidak boleh mengharapkan perkahwinan yang sempurna, tetapi kita sendiri perlu berusaha menjadi lebih baik.

Orang yang paling kuat membantu saya membuat keputusan ini ialah kakak. Dia hadir hari ini dan memberi sokongan. Dia sentiasa mengikuti perkembangan kami dan sering menjadi tempat kami mendapatkan nasihat.

Anak-anak pula memilih untuk tidak mencampuri urusan antara mama dan Walid. Mereka percaya apa sahaja keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk Mama.

Mengenai ruang kedamaian dengan pihak ketiga, hanya undang-undang yang boleh menentukan. Kita berusaha dan berikhtiar, selebihnya kita berserah.

Nasihat kakak

Sementara itu, Wan Shuraya menasihati pasangan tersebut agar terus bersabar dan berusaha mempertahankan rumah tangga yang dibina.

Dalam rumah tangga ini banyak asam garam. Jadi laluilah dengan baik. Apa sahaja masalah, cubalah selesaikan bersama. Saya rasa jodoh mereka masih panjang.

Alhamdulillah, hari ini tiada perkara yang tidak diingini berlaku dan saya harap perkara ini berkesan tanpa sebarang gangguan daripada pihak-pihak tertentu.

Untuk rekod, krisis rumah tangga Nora dan Dr Rushdi mula menjadi perhatian umum pada 12 Ogos 2024 apabila perkongsian Nora di Instagram (IG) yang memaparkan video suaminya melafazkan cerai mengejutkan pelbagai pihak.

Susulan itu, pelbagai dakwaan dilemparkan sehingga mendorong Nora memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 21 April tahun lalu.

Pada akhir 2021, Nora mengesahkan telah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang juga merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara.

Sebelum itu, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.