Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat di Surau Al-Hidayah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya, Johor Jaya pada Isnin lalu.

Artikel Berkaitan: Pelajar Perempuan Tingkatan 4 Meninggal Dunia Dipercayai Terjatuh Dari Tingkat Tiga Sekolah

Artikel Berkaitan: Rumah Terbakar Ketika Sedang Tidur, Bapa Melecur & Anak Sesak Nafas

Rebah ketika tahiyat akhir solat Isyak

Memetik laporan Harian Metro, perkongsian yang dimuat naik oleh ahli keluarga Allahyarham di media sosial, termasuk anak lelakinya, menyifatkan pemergian itu sebagai satu kehilangan yang amat besar, dan kenangan bersama arwah akan sentiasa terpahat dalam ingatan mereka.

Menurut anak Allahyarham, bapanya merupakan seorang yang sangat mencintai masjid, gemar membantu orang lain serta sentiasa mengutamakan kepentingan keluarga dalam setiap aspek kehidupan.

Dalam satu lagi perkongsian ahli keluarga, mereka memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku tanpa diduga.

Arwah keluar mencari rezeki halal untuk keluarga dan akhirnya kembali kepada pencipta dalam keadaan yang sangat dicemburui ramai.

Tiada siapa menyangka, sujud dan doa pada malam itu menjadi detik terakhir perjalanan hidupnya di dunia.

Difahamkan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.52 pagi selepas lelaki berusia 59 tahun tersebut ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Tambahnya, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia.

Selain itu, hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi serta pernah menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan.

Pihak keluarga memaklumkan tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dan bersetuju agar tiada bedah siasat dijalankan.

Tiada siasatan lanjut dijalankan atas kes ini.

Difahamkan, Allahyarham yang bertugas sebagai pengawal keselamatan rebah ketika berada dalam tahiyat akhir solat Isyak di surau berkenaan.

Selain itu, detik terakhir Allahyarham turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebelum video berkenaan tular di TikTok selepas dipercayai dimuat naik oleh ahli keluarganya.

Sumber: Harian Metro