Mengangkat tema yang pernah dialami ramai, iaitu ‘suka dalam diam’, penyanyi dan penulis lagu dari Indonesia, Allan Andersn, tampil memperkenalkan single terbaharu berjudul Mau But Malu.

Artikel Berkaitan: Allan Andersn Teruja Luncurkan Single ‘Senafas’ Hasil Kolaborasi Dengan Raja OST Malaysia, Farouk Roman

Artikel Berkaitan: Allan Andersn Angkat Tema Perasaan Diabaikan Dalam ‘Seakan Ku Tak Ada’ – ‘Cinta Buat Kita Merasa, Bukan Sebaliknya’

Dekat di hati pendengar

Single ini dicipta sepenuhnya oleh Allan Andersn dan mula dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 12 Februari lalu.

Karya ini menampilkan sisi muzik Allan yang lebih matang, namun tetap mengekalkan identiti popnya yang sarat dengan emosi serta perasaan yang dekat di hati pendengar.

Lagu Mau But Malu, yang membawa maksud ‘mahu tetapi malu’, ia menyampaikan kisah ringkas namun penuh dengan makna.

Lagu ini mengisahkan seseorang yang sentiasa berada di sisi rakannya, menjadi tempat meluah rasa serta sumber kekuatan ketika temannya patah hati, namun dalam masa yang sama terpaksa bergelut menyimpan perasaan sendiri.

Liriknya dipenuhi dengan momen comel dan mudah dihayati, namun dibawakan dengan cara yang menyeronokkan.

Walaupun ianya mengangkat tema ‘friendzone’ dan ‘confession’, sentuhan city pop menjadikan lagu ini lebih ringan, ‘catchy’, dan sesuai bagi mereka yang melalui situasi sebegini.

Menurut Allan Andersn, dia mahu lagu ini menjadi sebuah lagu yang menyeronokkan untuk didengar dan mampu membuat pendengar tersenyum kerana kisah di sebaliknya terlalu dekat dengan realiti.

Saya memang nak lagu ini bunyi ‘fun’ dan ‘groovy’ sebab situasi sebegini selalu terjadi dalam hidup kita.

Kadang-kadang kita gelak sendiri, ‘cringe’ sendiri.

Tapi itulah yang buat cerita ini dekat di hati.

Selain itu, Allan menyifatkan lagu ini sebagai mesej ‘cakap terus’ yang disampaikan secara santai, tanpa terasa terlalu berat.

Bagi saya, lagu ini bukan nak buat orang down.

Ia seperti lagu tema untuk orang yang nak bagi ‘hint’, bayangan apa yang dia sedang rasakan.

Pada akhirnya, akan tinggal dua pilihan sahaja, sama ada cakap ya atau tidak.

Kalau tidak, penat juga menunggu.

Disampaikan secara santai

Penyanyi yang berasal dari Tahuna, iaitu sebuah pulau kecil di Indonesia, Allan Andersn dikenali kerana penulisan lagunya yang jujur, sinematik, dan mudah dekat di hati.

Dengan lagu Mau But Malu, Allan meneruskan pendekatan tersebut sambil menampilkan susunan muzik yang lebih segar dan moden, sesuai untuk pendengar yang gemar pop catchy dengan sentuhan city pop kontemporari.

Sebagai sebahagian daripada promosi, Allan Andersn turut membawakan lagu Mau But Malu secara langsung dalam showcase intim di Kuala Lumpur pada 6 Februari yang lalu dan di Johor Bahru pada 14 Februari ini.

Sebelum ini, Allan Andersn pernah menarik perhatian menerusi lagu Rindu yang berjaya menembusi carta Spotify Viral 50 di Indonesia dan Malaysia, selain tersenarai dalam Top 10 Newcomers Billboard Indonesia selama dua minggu berturut-turut.

Dalam pada itu, Album debutnya, berjudul Dear AA (2025), turut meneguhkan namanya sebagai bakat baharu yang konsisten membina pengaruh dalam landskap pop Asia Tenggara.

Di samping itu, bagi lagu Mau But Malu, kempen digital dijalankan di aplikasi TikTok, Instagram, dan YouTube, dengan menampilkan konsep ‘storytelling’ serta kandungan buatan pengguna berkonsep ‘confession’, ‘hint’, dan kisah ‘friendzone’ yang mencuit hati.

Sehubungan itu, Allan juga mempunyai perancangan untuk melancarkan beberapa single sepanjang 2026 sebagai persiapan bagi projek EP dan album seterusnya.

Dengan melodi yang mudah melekat dan lirik yang dekat di hati, Mau But Malu dijangka akan menjadi lagu pilihan bagi mereka yang ingin berani menyatakan perasaan dengan cara yang menyeronokkan.