
Penyanyi kelahiran Indonesia, Allan Andersn hadir dengan single terbaharunya, berjudul ‘Senafas’, iaitu sebuah karya penuh emosi yang dijangka mencuri hati para pencinta muzik.
Artikel Berkaitan: Allan Andersn Angkat Tema Perasaan Diabaikan Dalam ‘Seakan Ku Tak Ada’ – ‘Cinta Buat Kita Merasa, Bukan Sebaliknya’
Artikel Berkaitan: ‘Jangan Nyatakan Justice For Zara Kalau Kamu Sendiri Pembuli’ – Allan Andersn
Keluar dari zon selesa

Allan Andersn, yang sebelum ini terkenal dengan karya ciptaan sendiri, kini keluar daripada zon selesa dan memperkenalkan dimensi baharu kepada peminatnya.
Lagu terbaharunya ini merupakan hasil kolaborasi dengan komposer tersohor, iaitu Farouk Roman dan lirik karya Senna, yang menemui peminat bermula 5 Disember 2025.
Kerjasama ini menandakan pertemuan budaya antara Malaysia dan Indonesia, serta menyatukan kepakaran komposer tempatan dengan vokal berbakat Allan yang kian menonjol di pentas serantau.
Bukan sekadar menonjolkan kehebatan muzik komposer tersebut, malah lagu ini turut memperlihatkan kebolehan Allan menyelami melodi penuh emosi, sekaligus meninggalkan impak yang kuat kepada setiap pendengarnya.
Saya benar-benar teruja dapat bekerjasama dalam projek ini. Sebagai seorang singer-songwriter, ini kali pertama saya menyanyikan lagu ciptaan komposer serta penulis lirik Malaysia dan pengalaman ini sangat bermakna.
Lebih istimewa lagi, saya diberi kepercayaan untuk membawakan karya Farouk Roman, seorang komposer yang dihormati ramai dan digelar Raja OST di Malaysia.
Saya keluar daripada zon selesa dan menganggap jalinan kerjasama ini sebagai lembaran baharu dalam kamus muzik saya.
Pengalaman berharga

Allan turut berkongsi rasa gembira kerana berpeluang menimba pengalaman berharga sepanjang rakaman lagu yang diterbitkan oleh SAAS Music Entertainment ini.
Sepanjang rakaman, saya banyak belajar tentang cara Farouk membina melodi yang bukan sahaja indah, tetapi juga hidup dalam jiwa pendengar.
Saya ambil pengalaman ini sebagai satu pelajaran baharu.
Proses ini saya anggap sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana sebagai seorang pencipta lagu dan penyanyi, saya boleh beradaptasi dan mempelajari banyak perkara baharu.
Lagu ‘Senafas’ ini mengisahkan tentang sebuah cinta yang sarat cabaran, di mana hati rela menanggung kepedihan dan kekecewaan berulang kali, namun kasih sayang tetap utuh tanpa berbelah bahagi.
Bagi saya, Senafas bukan sekadar lagu, tetapi sebuah kisah yang boleh menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Ia menceritakan tentang cinta, pengorbanan dan ketabahan, perkara yang universal dan dekat dengan semua orang.
Untuk naskhah ini, SAAS Music Entertainment memberi kepercayaan kepada saya untuk terlibat dalam kerja kreatif.
Walaupun kali ini saya tidak terlibat dalam penciptaan lagu, saya mengarahkan muzik video Senafas yang dibintangi oleh saya sendiri bersama Rendy Wicaksana.
Lebih menarik lagi, lagu ini dipilih menjadi runut bunyi rasmi bagi drama ‘Setiaku Berdiri’, yang akan disiarkan di Astro Prima.
Drama bersiri terbitan Radius One Sdn Bhd ini diketuai pengarah Rashid Sibir dan menampilkan barisan pelakon terkenal termasuk Wanna Ali, Nazrief Nazri, Sweet Qismina, Aidit Noh, dan ramai lagi.
Saya teruja kerana peluang kerjasama ini membuka peluang untuk karya nyanyian saya ditampilkan dalam naskhah istimewa berjudul Setiaku Berdiri.
Sudah pasti, saya gementar menanti reaksi peminat, tetapi saya yakin lagu ini bakal meninggalkan kesan dalam hati
mereka yang mendengar.
Lagu ini turut berperanan lebih daripada sekadar latar muzik, ia menyuntik kedalaman emosi yang menghidupkan jalan cerita dalam drama.
Mengangkat tema cinta, pengorbanan, dan ketabahan yang tercermin dalam drama, lagu’ Senafas’ berperanan bagi memperkuatkan lagi setiap babak, menyemarakkan emosi dan memperkayakan pengalaman menonton.
Lagu ini boleh dinikmati di semua platform penstriman muzik mulai 5 Disember 2025, manakala muzik videonya tersedia di saluran YouTube rasmi Allan Andersn.






![[VIDEO] Madammu Sebak Anak Menangis Minta Maaf Terlalu Inginkan Adik – ‘Katanya Dia Mahu Baby, Tapi Saya Yang Sakit Lalui Proses Itu’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/madammu1.jpg)

