Beberapa hari ini kecoh isu membabitkan pemansuhan sembilan elaun termasuk Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) seperti yang diumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam. Pemansuhan yang bakal menjejaskan 33 skim perkhidmatan melibatkan pegawai lantikan baru ini telah mendapat perbincangan hangat dalam kalangan netizen serta mengundang rasa tidak puas hati khususnya dalam kalangan anggota perubatan.
Bagaimanapun, mereka boleh menarik sedikit nafas lega apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beberapa jam lalu memberikan perkhabaran terbaru berhubung isu tersebut.
Ditangguhkan
https://www.instagram.com/p/B6kBVkslP0w/?utm_source=ig_web_copy_link
Menerusi sepotong video yang dimuatnaik olehnya di laman Instagram, Syed Saddiq memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan dahulu pelaksanaan pemansuhan BIPK yang sepatutnya dikuatkuasa 1 Januari depan.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.
Menurutnya, isu berhubung hal itu juga akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet pertama, Januari akan datang.
Sebentar tadi saya baru berbincang dengan Dr Mahathir berkenaan isu elaun kritikal dalam pekeliling baru JPA.
Alhamdulillah Perdana Menteri telah bersetuju untuk menangguhkan pekeliling itu dan Kabinet akan bersama membincangkan isu ini pada mesyuarat Kabinet pertama, Januari akan datang.
Terus berjuang untuk anak muda
Tambah Syed Saddiq, beliau akan terus menjadi wakil suara anak muda dan memperjuangkan nasib golongan ini di Malaysia.
Katanya, beliau juga akan memastikan bahawa suara doktor, jururawat dan anak-anak muda dalam sektor kerajaan tidak diabai serta dianaktirikan.
Suara anak muda adalah suara keramat, mereka merupakan pewaris negara bangsa kita bersama. Saya akan pastikan suara doktor, jururawat dan anak-anak muda dalam sektor kerajaan tidak akan diabaikan, dianaktirikan. Insya-ALLAH kita akan usahakan yang terbaik.
Syed Saddiq sebelum ini turut lantang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pemansuhan elaun tersebut. Malah, beliau juga mencadangkan potongan elaun dilakukan terhadap ahli politik dan menteri dan bukannya kepada doktor, ahli farmasi dan jururawat.
Sumber: Instagram Syed Saddiq