
Pelakon, Amir Ahnaf berkongsi pandangannya susulan kecaman segelintir netizen yang melabel sukan lasak Hyrox sebagai ‘fomo’ dan ada mempersoalkan minat individu yang aktif menyertai sukan berkenaan.
Artikel Berkaitan: Amir Ahnaf Sangkal Kenyataan Jojo Ghazali – ‘Seseorang Itu Berkelas Apabila Sentiasa Belajar’
Artikel Berkaitan: ‘Saya Nak Kahwin Muda, Bina Keluarga Yang Sihat’ – Amir Ahnaf
Hyrox sukan fomo?
Menurut Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin, 26, setiap orang berhak memilih aktiviti yang diminati tanpa perlu dihakimi, termasuk dalam bersukan.
Sukan adalah pilihan. Kalau sukan itu memang menepati minat seseorang, teruskan sahaja.
Saya sendiri sudah tak boleh bermain ragbi, jadi saya ambil inisiatif lain dengan menyertai Hyrox.
Kalau nak kecam, itu terpulang. Saya tak boleh halang. Kalau nak bersukan, pergilah bersukan. Kalau tak nak, itu pun pilihan masing-masing.
Amir berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Viu Original Cinta Dalam Sekam dan acara What’s Next On Viu yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam Hyrox, Amir berkata sukan tersebut bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal, malah membantu membakar kalori dalam jumlah yang tinggi.
Bayangkan kalau kita berlari lima kilometer, kita boleh bakar kira-kira 500 kalori. Tetapi untuk satu perlumbaan Hyrox, kita boleh membakar sehingga 3,000 kalori.
Dalam pada itu, Amir mendedahkan dirinya sudah aktif bersukan dan menjadi atlet sejak di sekolah, malah pernah mewakili Terengganu dalam sukan ragbi sebelum dipilih menyertai Sukan Malaysia (SUKMA).
Saya dulu pemain ragbi untuk pasukan Terengganu dan terpilih bermain di SUKMA serta mewakili Malaysia. Memang dari kecil saya aktif bersukan.
Saya sertai Hyrox sebab dah penat berdepan kesakitan selama bertahun-tahun. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk saya kembali sihat.
Dalam perkembangan lain, Amir kini membintangi drama bersiri Viu Original Cinta Dalam Sekam bersama barisan pelakon seperti Siti Khadijah, Haidar Hasanudin, Riz Amin dan beberapa pelakon lain.