
Pelakon, Amyza Aznan mengakui berasa ralat kerana tidak sempat berada di sisi anak tercinta, Andre Mikhail ketika menghembuskan nafas terakhir, pada malam Isnin.
Artikel Berkaitan: ‘Dia Paling Laju Datang & Hulur Bantuan’ – Netizen Teruja Dengan Keprihatinan Didie Alias Bantu Rakan Seindustri
Ramadan paling perit

Amyza, 51, berkata, dia bagaimanapun reda dengan takdir yang tertulis meskipun jauh di sudut hati sebagai seorang ibu menyimpan rasa terkilan kerana tidak dapat menemani anaknya pada detik akhir.
Rasa dia tahu saya ini emak yang berkepit dengan anak 24 jam. Saya memang protective dan dia tahu perangai saya macam mana. Mungkin dia tak mahu saya melihat saat dia pergi. Dia mungkin takut saya tak boleh ‘move on’.
Dia pergi ketika saya balik ke rumah untuk bersihkan diri. Baru sahaja sampai rumah dan selesai mandi, saya terima panggilan.
Mereka beritahu oksigen dia sudah menurun. Saya memang ralat. Mestilah sebagai ibu saya nak ada di sisi dia, tapi tak ada rezeki.
Amyza berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa, sejurus selesai urusan pengebumian Allahyarham Andre.
Mengulas mengenai peribadi arwah ketika hayatnya, Amyza menyifatkan Andre sebagai seorang anak yang sangat baik dan tidak pernah meninggikan suara.
Tak ada ibu yang tak puji anak sendiri, kan? Tapi saya puji dia sebab memang itu sifatnya. Dia tak pernah meninggikan suara, tak pernah melawan. Dengan adik-adiknya pun tak pernah bergaduh, tak pernah berkasar.
Hubungan mereka adik-beradik sangat rapat dan penyayang sejak kecil sampai besar. Walaupun dalam keadaan nazak, bila orang panggil, ‘Andre, ada tetamu datang,’ dia tetap cuba buka mata. Dia tetap mahu hormat orang.
Dalam pada itu, Amyza mengakui Ramadan kali ini merupakan antara bulan puasa paling perit dalam hidupnya apabila diduga ujian berturut-turut.
Ramadan ini sangat perit. Tahun lepas hanya dia seorang yang sakit. Tahun ini saya dapat tahu tentang Adrian pula dan tahun ini juga dia tinggalkan saya. Memang perit.
Walaupun cuba untuk menerima takdir, aktres itu jujur mengakui dia masih belum sepenuhnya menemui kekuatan untuk bangkit.
Sejujurnya, hari ini saya masih belum nampak lagi kekuatan itu. Maaf kalau ada yang tak setuju. Orang kata kena terima qada’ dan qadar, kena ‘move on’, ya saya tahu. Tapi dia adalah sebahagian daripada diri saya.
Buat masa ini saya belum nampak jalannya. Tapi saya tahu, insya-Allah satu hari nanti saya akan bangkit. Saya tak akan biarkan diri saya terus begini.
Terdahulu, Allahyarham Andre Mikhail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada jam 10.40 pagi, selepas disolatkan di Masjid Al Khairiah, Keramat AU3, Kuala Lumpur.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada jam 10.15 malam Isnin akibat kanser paru-paru.






![[VIDEO] Madammu Sebak Anak Menangis Minta Maaf Terlalu Inginkan Adik – ‘Katanya Dia Mahu Baby, Tapi Saya Yang Sakit Lalui Proses Itu’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/madammu1.jpg)

