Anak lelaki Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ikwan Hafiz menafikan dia merupakan antara 10 mangsa yang terkorban, dalam insiden nahas pesawat ringan di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, petang semalam.
Artikel Berkaitan: EXCO Pahang Antara 10 Terkorban Nahas Pesawat Terhempas Di Elmina
Artikel Berkaitan: ‘Saya Dengar Penunggang Motosikal Beberapa Kali Menjerit Allahuakbar’
Berita palsu
Memetik laporan Bernama, Ikwan, 36, berkata laporan yang disiarkan dalam media yang menyatakan namanya antara yang tersenarai menaiki pesawat ringan berkenaan adalah tidak benar dan palsu.
Saya kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh segelintir pengamal media yang tidak bertanggungjawab dan menyiarkan berita secara melulu, tanpa sebarang semakan sehingga menimbulkan spekulasi yang mengganggu ketenteraman keluarga.
Sehubungan itu saya meminta agar masyarakat umum menghentikan penyebaran berita palsu berkenaan. Pada masa yang sama, saya mewakili pihak keluarga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Terdahulu, polis mengesahkan beberapa orang kenamaan merupakan antara 10 lelaki maut dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, petang Khamis.
Antara yang terkorban ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun.
Difahamkan, pesawat berkenaan sebelum itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan membawa lapan orang termasuk dua kru penerbangan.
Sumber: Bernama