Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan turun padang menyantuni masyarakat tempatan serta pelancong antarabangsa menerusi program Dakwah Santai di Bukit Bintang.

Program anjuran Masjid Negara dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu mengetengahkan pendekatan dakwah secara santai dan terbuka dalam usaha menyampaikan mesej Islam yang membawa nilai rahmat, keamanan serta kemanusiaan sejagat.

Kehadiran Dr. Zulkifli dalam program berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk mendekati serta mengenali pendekatan Islam yang lebih mesra dan inklusif.

Artikel Berkaitan: Ratusan Belia Meriahkan Program Dakwah Piala Dunia, Tengok Bola Di Masjid Siap Qiyamulail & Solat Subuh Berjemaah

Artikel Berkaitan: Anak Penoreh Getah Di FELDA, Dr Zulkifli Hasan Kini Menteri Agama – ‘Teruslah Menimba Ilmu’

‘Nak tunjuk dakwah pelbagai cara’ – Dr. Zulkifli Hasan

Menurut Dr. Zulkifli, pendekatan dakwah di lokasi awam seperti Bukit Bintang membuktikan mesej Islam boleh disampaikan secara lebih dekat dengan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata, usaha menyebarkan nilai-nilai murni tidak seharusnya hanya berlangsung di masjid atau institusi agama, sebaliknya perlu dibawa ke lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan pelancong antarabangsa.

Kita mahu menunjukkan bahawa dakwah boleh disampaikan dengan penuh hikmah, kasih sayang dan meraikan kepelbagaian.

Bukit Bintang merupakan simbol kepada wajah Malaysia yang majmuk, justeru kehadiran kita di sini membawa mesej bahawa Islam adalah agama yang mendamaikan serta mengajak kepada kebaikan.

Alhamdulillah, walaupun hujan, ramai yang tetap hadir bersama-sama mengimarahkan program ini dan berselawat ke atas junjungan besar Rasulullah SAW.

Menariknya, program kali ini turut menampilkan kolaborasi bersama Bob Sentuhan Buskers, yang dikenali menerusi persembahan lagu berunsurkan ketuhanan dan pembangunan jiwa.

Kehadiran pelancong dari Indonesia, Arab Saudi, Maghribi serta beberapa negara lain turut memeriahkan program berkenaan.

Mereka turut memuji keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara yang aman serta mempunyai kepelbagaian budaya dan agama.

Pendekatan dakwah yang menggabungkan elemen seni dan kemasyarakatan itu dilihat mampu menjadi medium untuk memupuk persefahaman selain mengeratkan hubungan antara masyarakat daripada latar belakang berbeza.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada Imam Masjid Negara, Al-Fadhil Ustaz Dr. Amru Alhaz Adnan, bersama seluruh pasukan Masjid Negara serta Bob Sentuhan Buskers atas komitmen menjayakan program tersebut.

Beliau menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai manifestasi semangat fastabiqul khairat atau berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Dr. Zulkifli turut berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan secara berterusan bagi memperkukuh syiar Islam yang rahmah, selain menampilkan wajah Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan saling menghormati.