Pejam celik pejam celik, sudah lebih enam bulan pelakon dan penyanyi Ayda Jebat bergelar ibu dan menjalankan tanggungjawab untuk anak perempuan tersayang, Ana Nayla.
Artikel Berkaitan: Nabil Mahir & Ayda Jebat Pilih Nama Ana Nayla, Mata BabyWuvv Buat Ramai Terpegun Tengok – ‘Subhanallah Anugerah Terindah’
Menangis ketakutan
Berkongsi pengalaman yang menakutkan di Instagram Stories, Ayda memberitahu Nayla menangis saat mereka sekeluarga menginap di sebuah hotel yang terletak di ibu negara.
Menurut Ayda, 30, tangisan anaknya itu berterusan sehinggakan suaminya, Nabil Mahir terpaksa melaungkan azan namun tidak berkesan.
Semalam (kelmarin), saya dan Nabil mendaftar masuk di sebuah hotel di Kuala Lumpur atas tujuan kerja. Saya ambil dua bilik besar yang menghubungkan antara dua bilik.
Satu bilik untuk saya dan satu untuk mama dan baba. Masuk sahaja bilik hotel Ana Nayla terus menangis dan jika awak dengar sendiri pun boleh tahu dia dalam ketakutan.
Macam-macam dilakukan termasuk melaungkan Azan tetapi dia masih menangis tanpa henti sampai tersedu-sedu. Saya dan Nabil pun rasa ingin menangis.
Katanya, situasi cemas itu membuatkan dia berasa tidak senang hati untuk bekerja dengan puteri sulungnya tidak ingin minum susu.
Nampak kelibat lembaga merangkak
Sejurus tiba di bilik pada lewat malam, pemilik nama Nur Suhada Jebat memberitahu ibunya ternampak satu lembaga sedang merangkak dan menegaskan tempat itu menakutkan.
Tanpa berfikir panjang, mereka sekeluarga nekad pulang ke rumah kira-kira pukul 2.40 pagi.
Setelah selesai sesi latihan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, ibu memaklumkan dia terlihat kelibat satu lembaga merangkak daripada bilik saya ke biliknya.
Ketika itu, anak saya sudah tidur sebab kepenatan menangis. Mama tarik saya dan Nabil pergi ke tepi dan beritahu kami bilik hotel ini tidak ‘elok’.
Mama terlihat sesuatu merangkak laju dari bilik saya menerusi pintu sambungan itu dan terus pergi ke bilir air.
Di kaunter hotel, seorang kakitangan beritahu tingkat yang menempatkan bilik kami baru sahaja dibuka setelah sekian lama ditutup.
Dalam pada itu, pelantun lagu Pencuri Hati menyatakan ini adalah pengajaran kepada dia dan Nabil untuk lebih berhati-hati walau di mana sahaja terutama ketika bersama anak kecil.
Pengajaran untuk kami dan ibu bapa lain, nak bawa anak kecil ke hotel kena kaji dulu hotel tu okey ke tak, ini la orang tua kata mata budak kecil boleh nampak.
Jadi berhati-hati kalau tak nak jadi macam kami. Penat sangat.. tapi lagi penat dan sedih tengok anak menangis tak henti sampai mata bengkak.
Sumber: Instagram @aydajebat