Seorang warga Sepanyol yang juga anak kepada pelakon, Rodolfo Sancho Aguirre mengaku bersalah membunuh dan mengerat lelaki warga asing di sebuah pusat peranginan Koh Pha Ngan, Thailand.
Kerat badan, buang mayat mangsa
Suspek iaitu Daniel Sancho Bronchalo, 29, yang bekerja sebagai cef dilaporkan berada di Thailand sejak 31 Julai lalu untuk bercuti. Difahamkan juga, Sancho menggembara ke tujuh lokasi termasuk pantai di mana lokasi suspek membuang beg plastik di kawasan longgokan sampah yang mengandungi bahagian anggota badan dipercayai milik seorang doktor bedah warga Colombia, Edwin Arrieta Arteaga berusia 44 tahun.
Susulan daripada penemuan mayat tersebut, suspek yang didakwa melakukan pembunuhan terancang telah ditahan polis. Semasa soal siasat, suspek mengaku melakukan pembunuhan tersebut.
Menurut sumber, suspek dan mangsa mengenali antara satu sama lain sebelum mereka datang ke Thailand. Bukti rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan Sancho dan Arrieta menunggang sebuah motosikal bersama-sama beberapa hari sebelum mayat ditemui.
Sementara itu, polis memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan sementara pihak berkuasa meneruskan pencarian baki anggota badan yang lain.
Sumber: BBC