Baru-baru ini, industri hiburan tempatan dikejutkan dengan berita pemergian seorang penyanyi yang sangat berbakat iaitu Alessandra Dianne Ampuria atau lebih dikenali dengan panggilan Sandra Dianne pada 11 September yang lalu. Pemergian Allahyarham sangat dirasai oleh rakan-rakan industri, para peminat dan terutamanya ahli keluarga.
Artikel Berkaitan: ‘Selamat Pulang Ke Rahmatullah Sahabatku’ – Sandra Dianne Meninggal Dunia
Terbaru, ibu Allahyarham iaitu Nur Syakinah Abdullah di Facebook meluahkan rasa kesal dengan komen yang ditinggalkan seorang pengguna media sosial mengenai kematian anak kesayangannya itu.
‘Komen anda sinis dan memedihkan’
Terima kasih kerana anda sudi komen walaupun komen anda tak sepatutnya ditulis sebegitu. Saya tak mahu bercerita tentang ini tetapi memandangkan komen anda sinis dan memedihkan hati, sebagai seorang ibu yang kehilangan anak dalam kemalangan yang tragis ingin saya beritahu ya, anak saya yang awak cakap mati katak tu meninggal dalam keadaan menangis dan hidungnya berpeluh.
Syakinah agak terkilan kerana ada juga manusia yang tergamak mengeluarkan kenyataan seperti itu terhadap mereka yang sudah ‘pergi’. Syakinah mengakui, komen negatif yang ditinggalkan itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap emosi mereka sekeluarga lebih-lebih lagi mereka baru sahaja kehilangan insan tersayang.
Syakinah turut menegaskan bahawa anaknya itu tidak mati katak seperti yang didakwa oleh pengguna media sosial tersebut sebaliknya dia meninggal dalam keadaan menangis.
Komen negatif
Wajahnya bersih, tenang seperti orang sedang tidur. Keluarga kami sedang berkabung, berhati-hatilah dengan komen-komen anda. Saya yakin Allah tempatkan anak saya dalam kalangan orang-orang yang diredai. InsyaAllah.
Sementara itu, Syakinah menceritakan bahawa Allahyarham meninggal dalam keadaan wajahnya yang bersih dan tenang. Dia juga berharap agar orang ramai tidak memberikan komen-komen negatif dan menjaga perkataan supaya tidak mengguriskan hati mana-mana pihak.
Guna akaun palsu
Difahamkan, individu yang meninggalkan komen tersebut dipercayai menggunakan akaun palsu. Banyak posting negatif ditinggalkan individu tidak bertanggungjawab yang ditujukan buat Allahyarham. Malah tindakannya itu telah mengundang perbalahan dalam kalangan netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan komen-komen tersebut.
Sumber: Facebook, Twitter