berita

Anggap Seperti Anak Sendiri, Nabila Huda Mohon Masyarakat Beri Kata-Kata Semangat Buat Puteri Balqis

January 13th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Siapa sangka, pelakon cilik Puteri Balqis, yang pernah mencuri perhatian masyarakat suatu masa yang lalu, kini berhadapan dengan kehidupan yang sukar apabila terpaksa menjual buku tulisannya demi menampung perbelanjaan harian.

Keperitan hidup yang dilalui Pelakon Wanita Terbaik Drama ini, ternyata mencuri perhatian masyarakat apabila dia muncul di program Bersamamu pada 12 Januari lalu. Selain masyarakat, golongan selebriti seperti Nabila Huda turut memberi kata-kata semangat buat Balqis selepas mengetahui keadaannya ketika ini.

Saya sedih melihat Balqis

Menerusi laporan Berita Harian, Nabila Huda meluahkan perasaan sedih sebaik sahaja mengetahui kehidupan dan kesusahan Puteri Balqis sekarang ini. Menurutnya, dia berharap masyarakat akan memberi kata-kata semangat buat Balqis agar dia kuat dan bangkit selepas ini, walaupun diuji dengan penyakit berkaitan jantung.

Saya sedih melihat Balqis dalam hidup begitu. Bukannya kita tidak tahu, Balqis pelakon berbakat. Saya percaya pasti banyak syarikat produksi yang mahu menawarkan dia berlakon. Siapa yang tidak mahu memanggil pelakon berbakat seperti Balqis? Jarang kita tengok pelakon cilik sehebat dirinya.

Mungkin ketika sakit, Balqis agak senyap. Jadi, tiada ‘update’ atau perkembangan mengenai dirinya. Saya fikir mungkin ada yang menghulurkan bantuan, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Saya harap semua orang beri semangat untuk Balqis terus bangkit. Dia adalah pelakon yang mempunyai masa hadapan yang cerah.

Selain bersimpati dengan nasib yang perlu ditempuhi oleh Balqis, Nabila turut memuji bakat dan skil lakonan yang ada dalam diri pelakon cilik itu. Tambahnya, tidak semua remaja yang seusia dengan Balqis mempunyai bakat sehebat itu.

Anggap seperti anak sendiri

Pernah bergandingan dalam drama rantaian Akulah Balqis terbitan TV3, Nabila menganggap Balqis seperti anaknya sendiri. Malah, dia turut mengambil berat mengenai pelakon itu sejak berlakon bersama. Terdahulu, Nabila dan beberapa orang selebriti seperti Sharifah Sakinah dan Jihan Muse pernah mengadakan jualan barangan terpakai atau ‘preloved’ bagi membantu Balqis. Malangnya, hubungan mereka terputus seketika.

Kami berjaya mengumpul RM2,500 dan diserahkan kepada Balqis secara berperingkat ketika itu. Kami tidak serahkan secara penuh kerana mahu memastikan Balqis ada wang setiap bulan. Saya fikir mungkin menjual buku adalah cara dia berusaha dan saya menghormatinya. Namun, kalau mahu diikutkan, bukannya Balqis tiada bakat, apatah lagi masih muda dan ada hadapan yang cerah. Banyak perkara boleh dilakukannya. Saya tidak mahu Balqis membuang masa remajanya. Saya berdoa agar Balqis mendapat kebahagiaan dalam hidup dan sukses dalam apa sahaja perkara diusahakannya.

Mengenai kisah Balqis menjual buku, Nabila menganggap ianya adalah usaha Balqis. Pada masa yang sama, dia berdoa agar usaha Balqis membuahkan hasil dan memberi kebahagiaan buat dirinya dan ibu tercinta.

Sumber: Berita Harian, Nabila Huda & Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.