Pelakon, Aniq Suhair tidak menafikan berlaku kekhilafan daripada pihaknya apabila tidak sengaja membiarkan bahagian pusat terdedah ketika menjayakan babak tanpa baju di filem terbaharunya, Bisikan Nafsu.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Azeva Ada Ciri-Ciri Wifey Material Yang Saya Suka’ – Aniq Suhair

Artikel Berkaitan: Aniq Suhair Hampir Alami Burnout, Nasihat Jangan Paksa Diri Bekerja

Terlepas pandang

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh, 26, berkata bagaimanapun dirinya masih berpegang teguh kepada prinsip untuk menjaga batasan aurat seperti yang dinyatakan pada Oktober 2023.

Bercerita lanjut Aniq berkata insiden itu tidak disengajakan berlaku kerana seluar yang dipakainya agak longgar.

Sebenarnya memang saya tengah menjaga perkara itu. Kalau boleh saya memang tidak mahu terlalu dedahkan tubuh badan saya.

Tetapi dalam filem ini, cuma ternampak sedikit sahaja. Seluar itu sebenarnya saya sudah tarik melepasi paras pusat, tetapi disebabkan saiznya agak longgar, terjatuh ke bawah.

Kawasan lutut dan bahagian lain memang tidak nampak, jadi saya akui memang saya terlepas pandang untuk babak tersebut.

Aniq berkata demikian ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem berkenaan di TGV KLCC pada Rabu.

Jelas Aniq, dia hanya mengetahui mengenai babak tersebut ketika sesi penggambaran berlangsung.

Katanya, babak itu tidak dimaklumkan kepadanya lebih awal ketika dia menerima tawaran untuk membintangi filem berkenaan.

Masa awal-awal ditawarkan, saya tidak tahu pun ada babak kena buka baju. Perkara itu adalah atas permintaan orang-orang sekeliling termasuk pihak pengarah dan penerbit di saat-saat akhir penggambaran.

Kalau untuk naskhah lain selepas ini, tiada masalah sekiranya diminta untuk buka baju sekali lagi. Cuma saya akan pastikan bahagian pusat ditutup dengan betul dan tidak akan biarkan pantang larang itu terlepas lagi.

Dalam pada itu, Aniq terbuka menerima reaksi warganet ramai mengenai fizikalnya yang kelihatan berbeza dan berisi.

Saya rasa orang ramai mungkin akan lebih kecam bahagian perut saya yang belum sedia sebab ketika penggambaran dijalankan, saya memang sedang dalam proses untuk membesarkan badan.

Tiba-tiba dapat tawaran untuk lakonkan filem ini, jadi memang tak sempat nak siapkan bentuk badan sepenuhnya. Jadi bila terpaksa ‘belanja’, reda sahajalah.

Terdahulu pada Oktober 2023, Aniq pernah merayu kepada peminat dan kenalan agar memadam semua foto lamanya yang mengenakan seluar pendek daripada simpanan mereka.

Pada tahun itu, Aniq menyuarakan kebimbangan mengenai saham dosa berterusan yang perlu ditanggungnya sekiranya imej tidak menutup aurat itu terus menjadi tatapan umum di laman sosial.