Wuduk merupakan salah satu amalan asas dalam kehidupan seorang Muslim yang menjadi syarat sah bagi ibadah tertentu seperti solat.

Melalui wuduk, seseorang itu bukan sahaja membersihkan fizikalnya, malah mempersiapkan hati untuk lebih khusyuk dalam beribadah kepada Allah SWT.

Artikel Berkaitan: Hukum Berwuduk Dalam Keadaan Tidak Berpakaian

Artikel Berkaitan: Adab & Sunnah Memotong Kuku Menurut Islam

Pakai cincin ambil wuduk

Memakai cincin sudah menjadi kebiasaan bagi segelintir individu, iaitu sebagai aksesori harian mahupun simbol ikatan tertentu.

Namun, ketika ingin mengambil wuduk, perkara kecil seperti cincin ini sering menimbulkan tanda tanya sama ada ia perlu ditanggalkan atau hanya perlu dilonggarkan?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan memberikan penjelasan tentang hukum mengambil wuduk dengan memakai cincin. Berikut adalah dua pandangan berbeza yang diberikan oleh ulama:

Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa wajib untuk menggerak-gerakkan cincin ketika membasuh tangan untuk mengambil wuduk, jika sekiranya cincin tersebut ketat dan sempit ruangnya yang tidak dapat dipastikan bahawa air sampai ke dalamnya. 

Namun, jika sekiranya cincin itu longgar atau dapat dipastikan bahawa air sampai kepada kulit, maka tidak wajib untuk menggerak-gerakkan cincin tersebut, bahkan sunat sahaja untuk melakukannya.

Para ulama’ Malikiyyah pula berpandangan bahawa tidak wajib untuk mengubah kedudukan cincin pada jari seseorang yang berwuduk walaupun ia ketat, jika sekiranya cincin tersebut daripada apa yang dibenarkan oleh syarak. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11:30).

Bagaimanapun, keadaannya berbeza apabila seseorang ingin bertayammum. Menurut Jumhur ulama’ daripada Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah, bersepakat bahawa cincin perlu ditanggalkan ketika bertayammum.

Tindakan ini bagi memastikan debu-debu tanah tersebut sampai pada kulit individu yang bertayammum.

Tuntasnya, sah wuduk bagi seseorang yang memakai cincin, tetapi sekiranya aksesori yang dipakai itu agak ketat dan tidak dapat dipastikan bahawa air mengenai kulit pada bahagian bawah, maka wajib untuk dia menggerakkan cincin tersebut dan memastikan air mengenai kulitnya.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayanj Persekutuaan