
Dulu kalau mahu jadi popular, laluan seseorang agak mudah dibezakan. Artis muncul di televisyen, pawagam atau pentas, manakala influencer pula membina nama menerusi media sosial. Namun hari ini, dua dunia itu semakin sukar dipisahkan.
Pelakon dan penyanyi menghasilkan content hampir setiap hari. Pada masa sama, content creator pula menjadi wajah kempen besar, muncul dalam program hiburan malah mula mendapat tempat dalam produksi filem dan televisyen.
Persoalan siapa lebih ‘mahal’ antara artis dan influencer turut menjadi semakin menarik selepas pelakon dan pelawak Zizan Razak baru-baru ini berpandangan jumlah pengikut media sosial tidak sepatutnya menjadi ukuran mutlak dalam menentukan bayaran seseorang artis. Menurut Zizan, kemampuan, bakat serta impak yang diberikan menerusi sesebuah karya juga perlu diambil kira.
Jadi, apabila artis perlu mempunyai pengaruh digital dan influencer pula sudah memasuki ruang hiburan konvensional, adakah gelaran mereka masih begitu penting?
Artikel Berkaitan: Pelakon Atau Pempengaruh? Apabila Jumlah ‘Followers’ Mula Menentukan Peluang Berlakon
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Khairul Aming Menangis Kenang Arwah Bapa – ‘Dulu Nak Beli Ubat Tak Ada Duit, RM50 Pun Saya Tak Mampu Nak Bagi’
7 Perubahan Membuatkan Sempadan Selebriti & Influencer Semakin Kabur
1. Nak Popular, Tak Semestinya Kena Muncul Di TV Dulu
Dahulu, televisyen, radio, filem dan program realiti antara pintu utama untuk seseorang dikenali secara nasional. Hari ini, telefon pintar boleh melakukan perkara yang sama.
Usahawan dan personaliti media sosial, Khairul Aming misalnya membina namanya menerusi kandungan masakan di media sosial sebelum berkembang menjadi usahawan dengan jenama sendiri.
Begitu juga pempengaruh, Sofyank yang membina reputasinya melalui kandungan visual effects di internet sehingga pernah bekerjasama dengan figura antarabangsa seperti Zach King serta bintang Hollywood Anthony Ramos. Bernama turut melaporkan hasil kerja Sofyank pernah mendapat perhatian nama besar termasuk Will Smith.
Maksudnya, seseorang kini tidak semestinya perlu menunggu peluang daripada industri hiburan untuk membina nama. Media sosial sendiri sudah boleh mencipta selebriti.
Sumber: Bernama
2. Followers Juta-Juta Belum Tentu Paling ‘Mahal’
Di sinilah kenyataan Zizan tadi menjadi relevan. Jumlah followers memang memberikan seseorang capaian yang besar, tetapi ia tidak semestinya bermaksud setiap pengikut akan menonton drama yang dibintanginya, membeli produk yang dipromosikannya atau percaya kepada setiap recommendation yang diberikan.
Laporan Influencer Marketing in Malaysia 2026 oleh AnyMind Group mendapati pasaran Malaysia semakin melihat kepentingan rangkaian nano dan micro influencer yang mempunyai komuniti lebih khusus dan dipercayai.
Data AnyMind juga menunjukkan influencer marketing di Malaysia tidak lagi dikuasai Instagram sahaja. Pada 2025, Instagram merangkumi sekitar 47.7 peratus aktiviti kempen influencer, manakala TikTok sudah hampir mengejar dengan 44.4 peratus.
Jadi, mempunyai sejuta followers memang satu kelebihan. Tetapi bagi jenama atau produksi, persoalan lebih penting mungkin ialah: Berapa ramai daripada mereka yang benar-benar peduli apabila anda bercakap?
Sumber: AnyMind Group, Influencer Marketing in Malaysia 2026 & State of Influence in APAC 2026
3. Influencer Bukan Sekadar Boleh Promosi, Mereka Boleh Terus Menjual
Inilah salah satu kelebihan terbesar seorang creator hari ini. Mereka bukan sekadar memegang produk dan menghasilkan satu posting berbayar. Content, livestream, affiliate link dan TikTok Shop membolehkan jarak antara ‘saya nampak produk’ dengan ‘saya beli produk’ menjadi sangat pendek.
Contoh paling jelas di Malaysia ialah Khairul Aming. Pada Februari 2026, Aming mencatat jualan RM2.3 juta dalam tempoh sehari menerusi TikTok Shop livestream, yang pada ketika itu dilaporkan sebagai rekod jualan livestream tertinggi platform berkenaan di Malaysia.
Pada Ogos pula, pelancaran Sambal Nyet Bilis dilaporkan menghasilkan RM3.5 juta gross merchandise value (GMV) menerusi satu sesi livestream, dengan ratusan ribu penonton serentak. Situasi ini menunjukkan satu perkara penting.
Influence hari ini bukan lagi sekadar soal populariti. Ia boleh diterjemahkan terus kepada transaksi. Malah laporan Malaysia Digital Landscape 2025 mendapati 54 peratus pengguna Malaysia menganggap video pendek yang menampilkan influencer sebagai format paling menarik untuk menemui jenama baharu.
Sumber: Astro Awani, AnyMind Group Malaysia Digital Landscape 2025
4. Artis Pun Sekarang Masuk Dunia ‘Creator Commerce’
Menariknya, perubahan ini bukan berlaku kepada influencer sahaja. Artis konvensional juga semakin bergerak ke ruang yang selama ini sinonim dengan content creator khususnya livestream dan social commerce.
Kempen TikTok Shop 9.9 pada September 2026, misalnya, menampilkan nama seperti Neelofa bersama Haris, selain creator seperti Khairul Aming dan Anas Zahrin dalam pelbagai aktiviti livestream dan kolaborasi jualan. Trend itu sebenarnya sudah berkembang sejak beberapa tahun lalu.
Dalam TikTok Shop 11.11 Mega LIVE Showdown 2024, Neelofa berada dalam barisan creator bersama Khairul Aming, Sallywhoo dan beberapa personaliti digital lain, sementara artis seperti Ziana Zain, Aina Abdul, Ismail Izzani dan Aisha Retno pula mengisi segmen persembahan.
Dua dunia yang dulunya terpisah kini berada di platform dan acara yang sama. Artis membawa celebrity appeal. Creator membawa kekuatan komuniti digital. Dan semakin ramai yang mempunyai kedua-duanya.
Sumber: Bernama, Malay Mail
5. Influencer Pula Dah Mula Masuk Filem & Televisyen
Kalau artis bergerak ke media sosial, influencer pula bergerak ke arah bertentangan. Pempengaruh Ryan Bakery ialah contoh menarik.
Selepas mencipta nama menerusi kandungan media sosial, Ryan dilaporkan menerima peluang untuk mengembangkan kerjayanya dalam industri produksi konvensional.
Pada Disember 2025, mStar melaporkan Ryan menerima tawaran untuk mengarahkan sebuah telefilem bagi tayangan pada 2026, selain menyatakan beliau turut mendapat tawaran untuk menjayakan dua filem.
Perjalanan seperti ini menunjukkan media sosial kini boleh menjadi semacam audition room baharu. Seseorang creator datang dengan fanbase, personaliti dan bukti mereka sudah mampu menarik perhatian penonton. Persoalan selepas itu hanyalah sama ada mereka mampu membawa perhatian tersebut kepada medium lain.
Sumber: mStar
6. Jenama Pun Dah Tak Pilih Berdasarkan Gelaran Semata-mata
Perubahan paling jelas mungkin boleh dilihat daripada strategi pemasaran sendiri. TikTok Shop Malaysia mengumumkan lebih 1,000 sesi All-Star LIVE akan dilaksanakan sepanjang 2026 dengan penglibatan bukan sahaja selebriti terkenal, tetapi juga creator affiliate berprestasi tinggi.
Lebih menarik, lebih 100 sesi seumpamanya pada 2025 membantu jenama TikTok Shop Mall yang terlibat mencatat purata peningkatan jualan melebihi 160 peratus berbanding hari biasa, menurut TikTok Shop Malaysia.
Pada Ogos 2026 pula, TikTok Shop berkata hampir enam daripada 10 pengguna platformnya di Malaysia memilih LIVE shopping sebagai format pilihan, sementara jualan menerusi LIVE meningkat 48 peratus tahun ke tahun.
Dalam konteks ini, jenama tidak semestinya perlu bertanya, ‘artis mana paling popular?’ Mereka boleh bertanya, ‘siapa yang mempunyai audience paling sesuai dan siapa yang mampu menghasilkan tindakan?’
Sebab itulah selebriti, influencer, affiliate creator dan usahawan digital kini boleh berada dalam satu kempen yang sama.
Sumber: Bernama, TikTok Newsroom Malaysia
7. Yang Paling ‘Mahal’ Mungkin Mereka Yang Boleh Jadi Kedua-duanya
Akhirnya, persoalan artis atau influencer mana lebih mahal mungkin sudah terlalu mudah untuk pasaran sekarang. Seorang artis mempunyai kelebihan dari segi kredibiliti kerjaya, pengalaman pentas atau lakonan serta recognition daripada khalayak yang lebih luas.
Influencer pula boleh mempunyai hubungan lebih langsung dengan komuniti, kefahaman tentang platform serta kebolehan menghasilkan kandungan yang terasa lebih natural.
Tetapi apabila seseorang mempunyai kedua-duanya, nilai komersialnya berpotensi menjadi lebih luas. Contohnya, seseorang selebriti bukan sahaja boleh menjadi wajah iklan tetapi juga menghasilkan TikTok, melakukan livestream, membuat affiliate content, hadir ke event dan pada masa sama membawa kredibiliti daripada kerjaya hiburannya.
Begitu juga creator yang bukan sahaja mempunyai followers tetapi mampu berlakon, mengacara, menghasilkan produksi atau membina perniagaan sendiri.
Sumber: Bernama; Astro Awani; mStar; AnyMind Group Influencer Marketing in Malaysia 2026
Jadi, Artis Atau Influencer Lagi ‘Mahal’?
Jawapannya mungkin bukan pada gelaran. Seorang artis belum tentu lebih bernilai hanya kerana dia artis. Seorang influencer juga belum tentu lebih bernilai hanya kerana mempunyai jutaan followers.
Nilai seseorang hari ini semakin bergantung kepada kombinasi bakat, kredibiliti, audience, engagement, kemampuan menghasilkan content dan sejauh mana pengaruh itu boleh diterjemahkan kepada hasil sebenar.
Sebab itu sempadan antara artis dan influencer semakin sukar dilihat. Influencer boleh masuk televisyen. Artis boleh menjual menerusi livestream. Content creator boleh membina syarikat produksi dan selebriti pula perlu membina komuniti digital sendiri.
Mungkin selepas ini kita tidak perlu lagi bertanya ‘dia artis ke influencer?’ sebaliknya, ‘apa sebenarnya yang dia mampu buat dengan pengaruh yang dia ada?’