Usahawan dan personaliti media sosial, Asyraf Khalid mahu melahirkan generasi muda berjiwa kepimpinan menerusi platform Madani Future Leaders 500, di bawah naungan Madani Research Centre (MRC).

Program nasional itu menghimpunkan 500 pelajar terbaik dari seluruh negara untuk dibimbing secara dekat oleh tokoh-tokoh korporat, usahawan dan pemimpin industri  sebagai persediaan melahirkan barisan pemimpin masa depan yang bijak.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Asyraf Khalid Dapat Gaji RM3,500, Dedah Datuk K Ajar Untuk Tidak Hidup Mewah – ‘Masa Itu Pangkat Saya CEO’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Asyraf Khalid Kesal Dengan Caprice, Bakal Fail Saman Isu Tetamu Podcast – ‘Ini Soal Maruah & Keselamatan’

Bukan kurang bakat

Menurut Asyraf, 33, dia yakin anak muda zaman kini memiliki potensi besar untuk menjadi pemimpin, asalkan diberi peluang dan bimbingan yang betul.

Saya percaya setiap perubahan besar bermula dengan peluang.
 
Generasi muda hari ini bukan kurang bakat, cuma mereka perlukan ruang untuk berkembang dan dibimbing dengan nilai yang betul.

Asyraf berkata demikian ketika ditemui selepas pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Madani Research Centre (MRC), baru-baru ini.
 
Tambah Asyraf, melalui program tersebut, peserta akan didedahkan kepada pengalaman dunia sebenar termasuklah bimbingan kepimpinan, kemahiran komunikasi, serta pemikiran strategik.

Saya mahu lihat lahirnya generasi pemimpin yang bukan sekadar bijak, tetapi juga berjiwa besar, berempati dan faham tanggungjawab membina negara.

Pelantikan Asyraf diumumkan oleh Pengerusi MRC, Dr. Madhi Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Azmi Mat Nayan, dan beliau diberi tanggungjawab menguruskan bahagian Penjenamaan dan Penglibatan Awam.
 
Selain fokus kepada kepimpinan belia, Asyraf turut menzahirkan komitmen memperjuangkan hak dan penerimaan kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk penghidap autisme dan ADHD, menerusi Inisiatif Madani untuk Kanak-Kanak Keperluan Khas di bawah MRC.

Anak istimewa wajar dibuka peluang

Kata Asyraf, kanak-kanak istimewa wajar diberi peluang sama rata untuk mencapai potensi mereka, dan tidak seharusnya dilihat sebagai golongan pinggiran.

Saya percaya masyarakat Madani yang sejati ialah masyarakat yang menyantuni semua golongan, termasuk anak-anak istimewa.
 
Mereka bukan sahaja perlu diterima, tetapi diraikan sebagai sebahagian daripada kekuatan dan warna kemanusiaan negara.

Dalam pada itu, bapa kepada tiga cahaya mata menyatakan pelaksanaan ini akan memberi fokus kepada peningkatan kesedaran awam, penambahbaikan dasar kerajaan dan pembangunan sokongan komuniti agar kanak-kanak keperluan khas lebih diterima dalam sistem pendidikan, pekerjaan dan kehidupan seharian.

 Kita perlu ubah cara masyarakat melihat mereka kerana setiap anak mempunyai peluang untuk membina masa depan, tidak kira siapa mereka.
 
MRC adalah sebuah badan penyelidikan dan dasar yang menyokong pelaksanaan gagasan Malaysia Madani, memberi fokus kepada penyelidikan dasar pembangunan masyarakat dan komunikasi nilai nasional.