
Penyanyi, Azharina Azhar menyatakan dia dan penyanyi muda, Daniesh Suffian mempunyai pertalian darah keluarga.
Artikel Berkaitan: Difitnah Pelbagai Tuduhan Tak Masuk Akal, Azharina Buat Laporan Polis
Artikel Berkaitan: Azharina Azhar Tak Suka Kongsi Masalah Kesihatan Di Media Sosial – ‘Biar Orang Nampak Saya Aktif Seperti Tiada Penyakit’
Dakwaan tidak berasas
Menurut Azharina, 40, timbul dakwaan tidak berasas di media sosial apabila ada yang mengatakan Daniesh adalah ‘anak ikan.’
Namun, pelantun lagu Elegi Sepi itu tidak mahu memanjangkan isu lalu memaafkan penyebar cerita.
Terima kasih kerana memberi pahala percuma untuk saya. Danish sebenarnya ialah sepupu saya sebelah bapa.
Malah ada yang kata kami ialah anak beranak. Saya terima sahaja apa orang nak cakap. Saya reda. Saya maafkan mereka.
Azharina berkata demikian ketika majlis pelancaran lagu duet, Gunung Kinabalu nyanyiannya bersama Daniesh Suffian, baru-baru ini.
Perkenalkan bakat Daniesh
Bercerita mengenai kolaborasi menyanyikan lagu Gunung Kinabalu, Azharina mengambil peluang untuk memperkenalkan bakat Daniesh yang masih ramai orang belum sedari.
Saya bawa Daniesh untuk sama-sama menyanyikan lagu ini sebagai salah satu cara saya memperkenalkan bakatnya yang mungkin ramai belum kenal.
Lagu ini sebenarnya ciptaan datuk Daniesh dan pernah dinyanyikan oleh ibu Daniesh. Tetapi versi asal adalah berentak keroncong. Untuk versi baharu ini saya jadikannya ‘city pop’ supaya lebih mudah untuk diterima ramai terutamanya Gen Z.
Dalam pada itu, anak kelahiran Sabah ini juga memuji kesedapan suara Daniesh selain senang untuk mendapat keserasian ketika menyanyi bersama.
Bagi saya, apa yang penting ialah suara dia memang sedap. Kita boleh dengar banyak lagu duet di luar sana tapi vokal mereka tidak ‘kahwin’ atau tidak boleh ‘blend’.
Dengan Daniesh, alhamdulillah vokal kami boleh bersatu dan sudah terbukti menerusi beberapa lagu ‘cover’ di TikTok sebelum ini.
Lagu patriotik pertama Azharina dan Daniesh sudah dilancarkan secara rasmi pada 3 September lalu, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.
Ia boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Video muzik rasmi turut dilancarkan serentak dan dijangka menjadi antara tontonan utama sempena Hari Malaysia tahun ini.