berita

‘Babak Bercium Dengan Bayaran Mahal? Saya Tak Gila Nak Terima!’ – Syaffiq Sahli

June 22nd, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Pelakon Syaffiq Sahli mendedahkan dia menolak untuk melakonkan babak intimasi meskipun harga yang diterima sangat lumayan.

Masih waras!

Menurut Syaffiq, dia menerima tawaran untuk melakukan adegan bercium untuk sebuah filem.

Kata aktor berumur 35 tahun ini, dia terkejut kerana pihak produksi terbabit tergamak menawarkan kerja lakon seperti itu walaupun sudah tahu ia sensitif buat masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Saya ditawarkan untuk membawakan watak seorang pegawai imigresen dalam sebuah filem berjudul The Bride. Difahamkan, ia adalah sebuah filem Indie dan objektifnya adalah memburu pertandingan di festival luar negara.

Saya tidak diberitahu awal mengenai adanya babak bercium di dalam naskhah itu dan agak terkejut kerana, produksi juga sedar bahawa saya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Walaupun mungkin mereka sanggup meletakkan bayaran yang tinggi, tetapi saya tidak segila itu untuk menerimanya. Babak bercium? Saya masih lagi waras ya!

Tambah pemilik nama Mohd Syaffiq Sahli, dia berpegung teguh dengan prinsip menjaga batasan agar tidak keterlaluan.

Babak yang ditawarkan itu, memang bercium betul-betul. Bukan setakat pegang tangan saja. Adegan peluk pun saya tak buat, apatah lagi kalau nak buat adegan bercium.

Kita ini orang Melayu, Islam pula itu. Walaupun memang kerja kita berlakon, tapi ada batasnya. Itu prinsip yang saya pegang selama ini. Bagi saya, melampau sangatlah kalau tergamak nak buat babak bercium itu.

Mak, ayah dan isteri mestilah tak suka. Tak payah minta keizinan mereka pun, kita sendiri sebagai orang dewasa boleh fikir mana baik dan buruk.

Tak mungkin langgar hukum syarak

Ditanya sama ada berasa ralat terlepas peluang untuk mencipta nama di luar negara, Syaffiq menegaskan dia tidak akan melanggar ajaran agama.

Memang saya akui, mungkin terlepas peluang untuk mara ke peringkat antarabangsa, tetapi tak apalah, tak mungkinlah saya sanggup nak langgar hukum syarak. Saya dah bincang dan terangkan pada pihak produksi dan terpaksa menolaknya dengan cara baik.

Pengarah dan produksi secara amnya bukan orang Melayu, jadi mungkin mereka pun tak begitu faham dengan kepercayaan dan pegangan kita. Tak apalah, saya pun tak salahkan mereka sepenuhnya. Terus-terang, kalau tak ada babak itu, saya terima saja.

Dalam pada itu, Syaffiq memaklumkan dia kini sedang menjayakan penggambaran filem genre seram berjudul Bangkitkan Aku Kembali yang diadaptasi daripada karya novelis Sophilea.

Memegang watak utama bernama Zakuan, Syaffiq menerusi naskhah itu bergandingan dengan pelakon lain seperti Amy Nur Tinie, Aishah Azman, Mustaqim Bahadon dan ramai lagi.

Sumber: Instagram @syaffiqsahli

SKIP THIS AD ×