Sebelum ini, pelakon, Wafariena Roslan mendedahkan bahawa dia mengalami kecederaan ketika melakukan aksi lagak ngeri (stunt) semasa sesi penggambaran. Bukan itu sahaja, pengarah filem drama tersebut dikatakan bersikap lepas tangan biarpun pelakon berusia 27 tahun itu sedang dirawat di hospital.
Artikel berkaitan: Pengarah Didakwa Lepas Tangan Selepas Wafariena Alami Kecederaan, Azhan Rani Dedah Pernah Alami Nasib Sama – ‘Siapa Nak Tanggungjawab?’
Beri tempoh seminggu
Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, ibu kepada Wafariena iaitu Suzana Hamad berkata dia memberi tempoh seminggu kepada pihak produksi untuk berbincang dan menyelesaikan segala permasalahan yang terjadi sebelum membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang.
Ujar Suzana, dia belum membuat laporan polis kerana mahu memberi ruang untuk sesi perbincangan. Tambahnya, dia mempunyai rasa belas kasihan terhadap penerbit yang bersikap baik itu. Mengulas mengenai keadaan Wafariena setakat ini, Suzana memberitahu bahawa anaknya semakin pulih. Cuma, pelakon tersebut perlu dipantau kerana kecederaan di bahagian perutnya memerlukan masa untuk pulih.
Tempoh pulih tidak dapat dipastikan oleh doktor berapa lama. Tapi, dia kini mendapat cuti sakit selama 20 hari. Malah, dalam tiga hari seminggu, Wafariena perlu ke hospital bagi menjalani rawatan fisioterapi. Saya amat kesal dengan tindakan pengarah yang tidak bertanggungjawab dan lepas tangan terhadap kecederaan dialami anaknya ketika bekerja di set penggambarannya.
Kejadian berlaku depan mata dia (pengarah). Dia nampak Wafa (panggilan Wafariena) dah cedera dan dipapah kerana kesakitan selepas insiden itu, tapi masih duduk dan buat tidak tahu. Malah, dia masih minta Wafa kerja untuk menyiapkan dua babak lagi walaupun dalam kesakitan.
Kesal dengan apa yang berlaku
Bercerita lebih lanjut, Suzana berkata anaknya tidak patut melakukan aksi lagak ngeri itu kerana pelakon lagak ngeri sudah disediakan pihak produksi.
Saya pun tak tahu kenapa pengarah itu minta Wafa yang buat sendiri aksi lagak ngeri berkenaan sedangkan sudah ada pelakon lagak ngeri di lokasi penggambaran ketika itu. Sebagai ibu, saya memang kesal dengan apa yang dilakukan kepada anak saya. Namun, Wafa harus mendapatkan pembelaan wajar. Saya juga tidak mahu apa yang berlaku kepada Wafa terjadi ke atas pelakon lain pula.
Sumber: Harian Metro