Penyanyi, Syafiq Farhain berkongsi keadaan isterinya kini yang sarat mengandung dan meluahkan rasa berdebar menunggu kehadiran bakal anaknya nanti.
Artikel Berkaitan: ‘Bukan Takut Saham Jatuh’ – Syafiq Farhain Nikahi Pengurus
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nyanyian Syafiq Farhain Pukau Penonton AME 2019, Suara ‘Padu’ Macam Arwah Bapa
Usia kandungan 8 bulan
Syafiq atau nama sebenarnya Nur Syafiq Farhain A.M Salim berkata usia kandungan isterinya Alia Nadia, kini sudah mencecah lapan bulan dan dijangka bakal bersalin selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Sekarang dah lapan bulan, insyaa-Allah lepas raya ini isteri saya bersalin. Berdebar juga bila dah nak jadi ayah.
Syafiq yang juga merupakan anggota bomba turut berkongsi sepanjang kehamilan, isterinya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan atau alahan yang pelik.
Setakat ini Alhamdulillah tak ada apa-apa masalah kesihatan atau alahan yang pelik-pelik, jadi normal sahaja proses kehamilan isteri saya.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 29 tahun ini enggan berkongsi tentang jantina anaknya. Syafiq berkata demikian ketika ditemui OhBulan! di majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan Rusa Music dan MVM Production pada Khamis.
Isteri mahukan privasi
Dalam pada itu, pelantun lagu Sayang Maafkan Aku mendedahkan bahawa dia dan isteri tidak gemar berkongsi kehidupan peribadi di media sosial selain ingin mengelakkan penyakit ain.
Sebenarnya hal-hal peribadi saya, saya kurang sikit untuk dedahkan. Satu lagi memang orang rumah saya sendiri pun tak berminat sangat. Lagi bagus macam tu, tak payah la nak buat Insta Story, kadang-kadang dia tak nak masuk jadi selepas tu saya padam semula gambar.
Cuma orangkan, bila dah pegang keyboard dia taip ikut suka dia sahaja. Jadi kalau boleh kita tak nak lah benda tu. Saya tak suka bila ada orang bodyshaming bila tengok gambar-gambar kita dan memang takut penyakit ain juga jadi kita bersederhana sahaja.
Sekadar info, Syafiq telah mendirikan rumah tangga bersama Alia pada 10 Oktober 2021.