Pada April lalu, penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin terpalit dengan kontroversi panas apabila didakwa sudah bernikah dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Selatan Thailand.
Namun, Nora menepis dakwaan itu dan mengakui tidak faham bagaimana ada pihak yang boleh membuat tuduhan sebegitu.
Artikel Berkaitan: ‘Sungguhpun Saya Telah Kehilangan Suami, Janganlah Fitnah’ – Nora Jawab Isu Kahwin Menteri
Kahwin tahun ini
Sudah terang lagi bersuluh!
Nora mendedahkan dia akan mendirikan rumah tangga bersama ‘insan istimewa’ tahun ini. Kata Nora, 48, lelaki yang telah mencuri hatinya itu bukanlah seorang ahli politik, sebaliknya, berkemungkinan merupakan seorang pendidik.
Bercerita detik perkenalan, pemilik nama Wan Noraafiza Datuk Ariffin memberitahu mereka mula mengenali dalam tempoh pandemik Covid-19 lalu.
Insya-Allah dalam masa terdekat (akan berkahwin) dalam tahun ini, benda baik buat apa nak sorok. Doakan yang baik-baik, benda baik tak perlu dilambatkan dan perlu dipercepatkan.
Tunggu masa sesuai
Bagaimanapun, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema, enggan mendedahkan tarikh hari bahagia kepada umum. Katanya lagi, dia akan berkongsi dengan peminat apabila tiba waktunya nanti.
Bila masa sesuai saya akan beritahu. Tunggulah nanti, Alhamdulillah, anak-anak okay, mereka berlapang dada menerima dengan hati terbuka.
Terdahulu, Nora berkahwin dengan Allahyarham Johan pada 1992. Mereka dikurniakan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
Allahyarham Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung. Kemudian, pada 13 Disember 2019, Nora diduga pula dengan kematian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun.
Sumber: Utusan