Juara program Gimme The Mic Malaysia 2024, Farhan Mustapha meluahkan rasa syukur apabila perjuangan selama 12 tahun untuk bergelar penyanyi akhirnya tercapai.
Artikel Berkaitan: Bunga Citra Lestari Enggan Ulas Isu Suami Seleweng Duit Syarikat RM1.7 Juta – ‘Boleh Tanya Sendiri Tuan Badan’
Artikel Berkaitan: Haqiem Rusli Tak Kecil Hati Ditewaskan Pelawak Di Famili Duo – ‘Saya Dah Terbiasa Tersingkir, Adat Pertandingan’
Bakat dihargai
Menganggap rezeki tidak salah alamat, Farhan, 28, berkata, dia hanya mahu meneruskan legasi bapanya dalam bidang muzik biarpun beberapa kali tersingkir sewaktu menyertai pertandingan nyanyian.
Saya tidak sangka langsung bergelar juara, saya anggap ini rezeki untuk saya selepas lebih 12 tahun berusaha untuk bergelar penyanyi dan mencari peluang menapak dalam industri.
Saya pernah menyertai banyak pertandingan TV, antaranya Bintang RTM 2012 dan 2016 namun tersingkir di separuh akhir.
Saya juga pernah mencuba nasib menyertai AF musim Syamel tapi hanya Top 15. Masuk Mentor Milenia pun tersingkir minggu pertama.
Memang mahu menjadi penyanyi, apa yang saya perjuangkan sekarang ini adalah untuk meneruskan legasi bapa saya yang minat sangat dengan bidang nyanyian dan dia juga seorang penyanyi.
Farhan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert final Gimme The Mic Malaysia 2024 yang berlangsung di CIDB, Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.
Meskipun masih trauma kerana tuah yang sering tidak berpihak kepadanya, Farhan yang bekerja sebagai penebar roti canai gembira kerana bakat yang dimiliki akhirnya dilihat.
Selepas berkahwin pada tahun 2022 saya bekerja sebagai penebar roti canai, ketika itu kehidupan saya ada sedikit ujian dari segi kewangan dan beberapa lain.
Ketika bekerja sebagai penebar roti, saya ada masa untuk buat cover lagu dan muat naik di media sosial, tak sangka ada yang tular dan mendapat perhatian ramai.
Kemudian nampak ujibakat Gimme The Mic, yakin dengan rezeki walaupun masih trauma dengan pertandingan sebelum ini, namun tetap mahu mencuba nasib.
Terdahulu, Farhan dinobatkan sebagai juara program tersebut sekali gus membawa pulang hadiah berjumlah RM10,000 sumbangan Astro, 2,000 USD sumbangan TikTok, rakaman single bersama Rocketfuel Entertainment, trofi kemenangan dan penyertaan Gimme The Mic Global.
Farhan berjaya menambat hati barisan juri profesional menerusi lagu Sampai Mati dan Berhenti Berharap.