berita

Baling Barang Pelanggan, SKMM Beri Amaran Keras Kepada Syarikat Kurier

February 10th, 2021 | by Amat
Kini Trending

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi sebuah kenyataan media yang dimuat naik melalui laman Facebook rasmi memandang serius terhadap insiden yang viral melibatkan beberapa orang pekerja campak barang pelanggan, tempoh hari.

Artikel berkaitan: Dipercayai Mogok, Campak Barang Pelanggan, Pekerja J&T Mohon Maaf

Malah, SKMM turut meminta syarikat kurier terbabit memberi penerangan susulan isu berkenaan. SKMM memberi amaran kepada pihak pengurusan syarikat kurier tersebut untuk memperbaiki tatacara pengendalian bungkusan pelanggan.

Melindungi hak pelanggan

SKMM sekali lagi mengingatkan kepada semua syarikat kurier berlesen untuk sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi melindungi hak pengguna.

Sekiranya pemegang lesen didapati ingkar dan melanggar mana-mana perundangan subsidiari di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012, mereka boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM300,000 atau tempoh penjara tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC menyeru agar pihak pengguna memahami dan mengetahui hak mereka sebelum memilih perkhidmatan yang ditawarkan syarikat penghantaran.

Tindakan tegas perlu diambil

Sementara itu, Pemangku Presiden Kongres Persatuan Pekerja Malaysia (MTUC) iaitu Effendy Abdul Ghani menggesa kerajaan supaya bertindak segera dan mengenalpasti punca berlakunya tindakan mogok melibatkan pekerja J&T Express itu.

Tambahnya, siasatan tersebut adalah bagi memastikan kesahihan dakwaan pengabaian kebajikan dan pemberian komisen syarikat kepada pekerja.

Sekiranya pihak Pengurusan J&T Express telah melanggar dan mengabaikan pekerja-pekerja mereka maka tindakan tegas perlu diambil. Dan semua pekerja J&T Express hendaklah mendapat kebajikan sewajarnya daripada majikan mereka serta bayaran yang setimpal terhadap kerja yang telah dilakukan oleh pekerja syarikat berkenaan.

Penambahbaikan tersebut perlu dilakukan agar pekerja dalam sektor penghantaran ini menerima upah yang setimpal di samping kebajikan mereka terbela dan terjaga.

Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Sinar Harian

SKIP THIS AD ×