
Tindakan seorang wanita Muslim yang membuat siaran langsung di media sosial sambil minum air secara terbuka pada bulan Ramadan mengundang padah apabila dia ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi membantu siasatan lanjut.
Artikel Berkaitan: Saiful Apek Amal Tradisi Berbuka Dengan Bubur Lambuk Sepanjang Ramadan – ‘Dah Sebati Sejak Kecil Lagi’
Minum air dalam live

Menerusi video yang tular, wanita terbabit dilihat tanpa rasa bersalah memaklumkan kepada netizen bahawa dia berbangga tidak berpuasa, meskipun ditegur warganet agar menjaga sensitiviti masyarakat Islam sepanjang bulan Ramadan.
Memetik Sinar Harian, Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah, berkata pihaknya memandang serius hantaran berkenaan yang mula tular pada 23 Februari lalu.
Video berkenaan memaparkan seorang wanita Muslim yang didakwa telah menghina atau mencela agama Islam.
Hasil siasatan mendapati, pemilik akaun TikTok berkenaan telah membuat siaran langsung pada Ahad lalu kira-kira jam 6.45 petang untuk berinteraksi bersama pengikutnya di media sosial dan telah melakukan tindakan terbuka dengan makan dan minum semasa siaran langsung tersebut.
Menurut Mohd Asri lagi, wanita berusia 27 tahun itu ditahan di kediamannya di Kuala Pilah kira-kira jam 12 tengah hari, Selasa, sebelum dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS untuk siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, berkaitan kesalahan menghina atau mencela agama Islam.
Bagaimanapun, wanita berkenaan dilepaskan pada jam 10 malam pada hari yang sama selepas keterangannya selesai diambil.
Dalam pada itu, Mohd Asri menasihatkan orang ramai, khususnya masyarakat Islam, agar sentiasa peka terhadap sensitiviti agama serta menghormati kesucian bulan Ramadan.
Orang ramai khususnya masyarakat Islam dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap sensitiviti agama dan menghormati bulan Ramadan dengan amalan dan perilaku murni sesuai dengan kehendak Islam.
JHEAINS sentiasa komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di Negeri Sembilan diurus dengan tertib, penuh hikmah dan berlandaskan syariat Islam serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Sumber: Sinar Harian








